KUALA LUMPUR: Bagaikan tiada noktah, insiden buli membabitkan keganasan fizikal terus menghantui institusi pendidikan di negara ini dengan yang terbaharu dikesan pada awal bulan ini.
Insiden melibatkan sekumpulan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di utara tanah air itu terbongkar menerusi rakaman video berdurasi 10 minit yang tular, mengundang kecaman netizen dan masyarakat amnya.
Kejadian turut menimbulkan persoalan ke manakah perginya empati dan kemanusiaan dalam diri remaja yang masih dalam peringkat "rebung" itu sehingga sanggup beramai-ramai menumbuk seorang rakan sebaya.
Tidakkah mereka belajar daripada kejadian buli yang meragut nyawa Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, pegawai kadet laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)?
Menurut pakar pendidikan dan psikologi, tidak semua pembuli berasal daripada keluarga bermasalah atau akibat masalah keluarga atau pernah menjadi mangsa buli. Sebaliknya ada yang menjadi demikian disebabkan kekurangan nilai murni dalam pembangunan sahsiahnya.
LUPA NILAI MURNI
"Masalah buli berlaku dalam kalangan pelajar adalah sangat berkait dengan nilai yang mereka pegang. Maksudnya, kalau seseorang itu mempunyai nilai agama yang baik, nilai moral yang baik, mereka tidak akan melakukan buli," kata pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Anuar Ahmad kepada Bernama.
Menurutnya, faktor nilai murni kurang diberi perhatian dalam kes buli kerana kebanyakan ahli masyarakat menuding jari kepada masalah keluarga seperti pergaduhan ibu bapa atau pembuli sendiri pernah menjadi mangsa.
Ada pembuli katanya menerima kasih sayang yang mencukupi daripada keluarga, namun hilang nilai murni kerana pengaruh rakan dan persekitaran seperti keganasan dalam permainan video dan juga filem yang mereka anggap sebagai kelakuan hebat.
Akibat lemah aspek kerohanian, mereka tidak dapat membezakan di antara yang betul dan salah, katanya dan menambah, lebih buruk lagi ada yang membuli sekadar untuk berseronok atau suka-suka.
Justeru, tidak menghairankan apabila pembuli mentertawakan mangsa yang kesakitan, walhal jika ada nilai kasih antara manusia dalam diri mereka, perkara itu tidak akan berlaku, tegas beliau.
"Saya sedih melihat pelajar bijak pandai yang masuk sekolah asrama penuh tetapi tidak menggunakan pemikiran rasional untuk membezakan mana yang baik dan buruk, sedangkan bagi saya isu buli tidak menuntut kematangan yang tinggi.
"Malah, anak kecil, sekiranya diberikan penekanan pendidikan akhlak, moral dan agama di peringkat awal juga mampu membezakan perbuatan seperti itu adalah tidak bermoral mahupun wajar," katanya, menambah tuntutan kehidupan menyebabkan ramai ibu bapa menyerahkan sepenuhnya aspek pembangunan nilai sahsiah si anak kepada sekolah dan pembantu rumah.
SEKOLAHKU SEJAHTERA, BERKESANKAH?
Isu kekurangan nilai murni dalam kalangan generasi muda, khususnya di peringkat sekolah, turut disentuh oleh beberapa pihak sebelum ini, termasuk pakar agama yang merumuskan kejadian buli juga disebabkan ketidakberkesanan pendidikan agama dan moral yang diajar di sekolah.
Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor dipetik berkata buli di sekolah berasrama penuh akan terus berlaku dari semasa ke semasa, dan perkara itu berkait dengan kurangnya nilai moral dan budi bahasa dalam kalangan segelintir pelajar.
Pandangan serupa turut disuarakan oleh Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE) yang berkata budaya buli khususnya dalam kalangan pelajar, tidak akan berleluasa sekiranya mereka benar-benar menghayati serta mempelajari nilai-nilai murni yang diterapkan dalam kurikulum Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral di sekolah sejak sekian lama.
Menyedari akan kepentingan nilai moral, Kementerian Pendidikan kini dalam peringkat akhir sesi libat urus berkaitan pengenalan konsep 'Sekolahku Sejahtera' yang antara lain bagi membendung gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah.
Menterinya Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan berkata konsep itu membolehkan elemen nilai murni diterapkan sejak kecil dalam kalangan murid, sekali gus membantu mereka menilai kesan baik dan buruk sesuatu perbuatan atau perkara apabila mereka dewasa kelak.
Bagi Anuar, pengenalan konsep itu merupakan satu langkah wajar memandangkan selama ini pendidikan berkaitan dengan agama mahupun moral dalam kalangan pelajar, tidak kira peringkat rendah atau menengah, tidak diutamakan sepertimana subjek akademik lain seperti Matematik dan Sains.
"Masih ada dalam kalangan kita yang meletakkan pendidikan berkaitan moral, sivik hanyalah sampingan dan ini dapat dilihat apabila pelajar hanya mempelajarinya beberapa jam sahaja dalam seminggu.
"Malah, satu ketika dulu, saya pernah dimaklumkan ibu bapa bahawa ada sekolah yang menggunakan waktu Pendidikan Moral dan Sivik untuk mata pelajaran Sains, Matematik dan sebagainya. Saya tidak nafikan subjek Sains dan Matematik itu penting, tetapi perlu ada keseimbangan di antara akademik dan pembangunan nilai murni," katanya.
TIBA MASA UNTUK "4M"
Menurut Anuar, sudah tiba masa aspek moral diberi penekanan sewajarnya dan ditambah kepada '3M', iaitu selain menguasai kemahiran "membaca, menulis dan mengira", satu lagi "M" iaitu moral juga perlu dikuasai pelajar.
Ini seiring dengan falsafah pendidikan negara yang bermatlamat membentuk modal insan seimbang merangkumi aspek pendidikan, rohani dan jasmani, katanya.
Bagaimanapun, untuk tujuan itu, Anuar berkata penekanan aspek nilai murni perlu diterjemahkan secara praktikal sepertimana yang diaplikasikan di Jepun, kerana pendekatan tersebut lebih berkesan dalam meningkatkan pemahaman pelajar.
"Pendidikan moral atau nilai murni merupakan subjek yang sangat sukar sebenarnya. Contoh, ucapan terima kasih mudah sahaja diucapkan tetapi berapa ramai ketika ini yang mampu mengucapkannya kepada orang lain? Malah, untuk mendengar ucapan tersebut pun susah.
"Kerana itulah subjek ini tidak boleh diajar dalam bentuk teori semata-mata. Kalau di Jepun, pembelajaran nilai murni diberi penekanan di sekolah sejak umur tujuh tahun lagi melalui perbuatan. Contohnya ada jadual bersihkan tandas, membantu menyediakan makanan untuk rakan, yang mana ini akan mewujudkan jalinan persahabatan ikhlas antara satu sama lain," katanya.
Menerusi persahabatan ikhlas ini, secara tidak langsung mereka belajar menghormati antara satu sama lain dan mempunyai sifat empati dalam diri, sekali gus menjadi benteng pertahanan diri daripada terpengaruh dengan faktor luaran dan menjadi pembuli.
Pensyarah kanan di Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia Dr Mohamad Naqiuddin Dahamat Azam pula melihat keteguhan empati dalam remaja membolehkan mereka memahami kesusahan dan penderitaan yang ditanggung orang lain, khususnya rakan sebaya.
Perasaan empati membolehkan mereka meletakkan diri dalam situasi orang lain dan ini memangkin tingkah laku prososial seperti tolong-menolong dan saling melindungi rakan daripada ancaman, jelasnya.
"(Selain itu) Rasa serba salah pula mampu mendorong remaja mengakui kesilapan diri, memohon maaf dan berusaha membaiki hubungan dengan rakan sebaya. Bahkan, penyelidikan telah membuktikan rasa serba salah sebagai satu ramuan penting dalam membina hubungan persahabatan yang berkualiti dan positif dengan rakan sebaya," katanya.
KERUGIAN BUAT NEGARA
Hakikatnya, penyelesaian kepada masalah buli yang sudah lama berakar umbi ini memerlukan penglibatan semua pihak, iaitu bukan hanya ibu bapa dan sekolah, tetapi juga masyarakat sekeliling termasuk golongan agamawan.
Bagi Anuar, sekalipun isu buli sukar dihapuskan sepenuhnya, usaha mengurangkan kejadian ke peringkat paling minimum perlu diambil segera bagi memastikan negara tidak lagi kehilangan modal insan berpotensi yang komprehensif.
"Apalah gunanya melahirkan pelajar yang hanya cemerlang separuh sahaja iaitu hanya akademik tetapi tidak pada pembangunan akhlak serta nilai murni?
"Mereka ini bukan hanya berisiko menjadi pembuli kerana kelemahan benteng diri tetapi juga berpotensi terlibat dalam jenayah lain seperti rasuah dan sebagainya," katanya.
-- BERNAMA
Bernama
Tue Dec 21 2021
Faktor nilai murni kurang diberi perhatian dalam kes buli kerana kebanyakan ahli masyarakat menuding jari kepada masalah keluarga. - Gambar hiasan
Prospek sektor korporat neutral pada 2025 - Fitch Ratings
Fitch Ratings berpandangan neutral terhadap sektor korporat Asia Pasifik (APAC) pada 2025.
MCMC peruntuk RM13.7 juta baik pulih WiFi di UM, USIM, UniMAP - Fahmi
MCMC peruntuk RM13.7 juta bagi tingkatkan akses internet di tiga universiti awam Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
IPT di negara ini sedia kuasa AI sepenuhnya
Institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini sudah bersedia menguasai bidang kecerdasan buatan (AI) sepenuhnya.
Sembilan siri latihan polis bantuan dirancang tahun depan
Sebanyak sembilan siri latihan polis bantuan dirancang untuk dilaksanakan di seluruh negara tahun hadapan berikutan permintaan yang semakin meningkat.
Pesaka sasar tujuh pingat emas di Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2024
Pesaka meletakkan sasaran tujuh emas sama seperti edisi lepas bagi kontinjen pesilat negara yang akan membawa cabaran ke Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2024 di Abu Dhabi.
MRA salur bantuan banjir bernilai lebih RM429,000
Sumbangan itu merangkumi bantuan makanan, bukan makanan dan perkhidmatan.
300 stesen pengecasan EV akan ditambah dalam tempoh dua tahun - Ab Rauf
Kerajaan Melaka cadang tambah hingga 300 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) dalam tempoh dua tahun akan datang, kata Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh.
Tumpuan Sabtu – 14 Disember 2024
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
10 Berita Pilihan - (13 Disember 2024)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
IPT di negara ini sedia sepenuhnya kuasai AI
Institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini sudah bersedia menguasai bidang kecerdasan buatan (AI) sepenuhnya.
KDN warta perintah larangan terhadap tiga penerbitan
KDN berkata amalan hidup songsang jelas dilarang dan bertentangan dengan semua ajaran agama serta norma hidup masyarakat di negara ini.
Kekurangan nilai moral berpotensi lahirkan pembuli - Pakar
Kejadian turut menimbulkan persoalan ke manakah perginya empati dan kemanusiaan dalam diri remaja.
Isu Buli: KPM disaran tambah baik kurikulum pendidikan agama, moral - Mufti P. Pinang
KPM disarankan agar menambah baik kurikulum pendidikan agama dan moral di sekolah termasuk dari sudut amalan atau praktikal agar lebih berkesan dalam pembentukan sahsiah pelajar.
Ada orang kata 'bisnes dan rasuah berjalan seiring'... Benarkah begitu?
Jika tanggapan itu wujud, ternyata ekonomi dan amalan perniagaan sesebuah negara tidak sejajar dengan amalan baik.
Kerajaan Thailand dikecam sekat laman web lucah terkenal
Tindakan itu melibatkan lebih 190 alamat URL bagi semua syarikat pembekal Internet dan operator telefon di negara itu.
Guna pangkat untuk arahan kerja peribadi tidak terlepas tindakan
Antara kesalahan lain yang dikenal pasti sering kali dilakukan ialah salah guna kuasa, bergaduh atau tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan semasa bertugas.
Selesaikan segera politik Sabah, fokus kepada ekonomi rakyat
Kemelut politik Sabah perlu diselesaikan segera bagi memberi fokus kepada pembangunan ekonomi rakyat di negeri itu.
Petugas barisan hadapan UK menari TikTok untuk naikkan semangat
Video tular di media sosial sehingga mencetuskan trend itu memaparkan petugas pelbagai hospital menyertai aktiviti berkenaan sambil mengenakan mereka.
'Terima kasih KBS' - Hari terakhir Syed Saddiq sebagai Menteri Belia dan Sukan
Selama 22 bulan berkhidmat, Syed Saddiq dan Steven Sim dilihat banyak menabur bakti terutamanya dari sudut pengurusan kebajikan atlet negara.
Langgar perlembagaan, tidak bermoral, tarik sokongan, pecat Trump! - Christianity Today
Majalah berpengaruh 'Christianity Today' saran agar Trump tidak disokong cara membuta tuli dan kini layak dipecat.