Kelantan akan umum garis panduan dan syarat mendulang emas

Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sedang meneliti cadangan itu bagi memastikan aktiviti mendulang tidak menjejaskan keselamatan pendulang dan alam sekitar. - Foto: Sinar Harian
KOTA BHARU: Garis panduan dan syarat lengkap bagi aktiviti mendulang emas di Kelantan akan diumumkan selepas dibentangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri yang akan datang, kata Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Beliau berkata Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sedang meneliti cadangan itu bagi memastikan aktiviti mendulang tidak menjejaskan keselamatan pendulang dan alam sekitar.
"Cadangan untuk memberikan kebenaran menjalankan aktiviti mendulang emas masih dalam peringkat penelitian dan belum dimuktamadkan.
"Mungkin wujud kekeliruan berhubung pengisytiharan sebelum ini. Saya sebut kerajaan bercadang dan akan buat syarat maknanya ia belum dilaksanakan lagi. Kita sedang teliti syarat, garis panduan dan perkara lain sebelum dibentangkan dalam mesyuarat exco akan datang," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco di sini hari ini.
Beliau berkata penetapan garis panduan itu bertujuan mengawal aktiviti mendulang supaya tidak menjejaskan keselamatan rakyat dan alam sekitar.
"Kita mahu mengawal selia aktiviti ini. Mendulang dibenarkan, tetapi penggunaan peralatan tertentu seperti mesin mudah alih dianggap sebagai industri dan tidak dibenarkan. Aktiviti berbentuk industri perlu memohon lesen dan melalui prosedur lebih ketat," katanya.
Mohamed Fadzli berkata penentuan harga belian emas, pembeli dan pemantauan jumlah pendulang akan diselaraskan melalui lesen yang bakal dikeluarkan.
"Kita mahu meneliti semua aspek. Cuma syarat belum diumumkan, jadi saya tidak mahu ulas lebih lanjut. SOP akan diumumkan dahulu," katanya.
Berikutan itu, beliau berkata perlombongan emas memerlukan kos tinggi. Setakat ini, kerajaan negeri telah mengeluarkan 20 lesen, tetapi hanya empat syarikat yang aktif, termasuk satu syarikat berskala besar.
"Kita mengalu-alukan syarikat tempatan yang berkemampuan menyertai industri ini. Syarikat bumiputera yang benar-benar mampu juga dialu-alukan. Setakat ini, tidak banyak syarikat yang boleh melaksanakan perlombongan berskala besar," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


