KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan meluluskan sebanyak 333 permohonan Lesen Mendulang Emas Kecil setakat ini, kata Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 54 lesen telah diambil oleh pemohon.
Advertisement
“Sejak pembukaan permohonan pada awal tahun ini, 493 permohonan diterima dan dinilai berdasarkan syarat serta garis panduan ditetapkan sebelum kelulusan diberikan. Daripada jumlah itu, 333 permohonan diluluskan dan selesai diproses,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) mengenai jumlah permohonan lesen yang diluluskan sejak dibuka awal tahun ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli berkata jumlah pemegang lesen yang aktif belum dapat dipastikan kerana kebanyakan pemohon menjalankan aktiviti mendulang secara sambilan.
“Dua syarikat pembeli telah dilantik bagi memastikan urusan pembelian sumber mineral ini mematuhi peraturan serta mengelakkan pendulang dieksploitasi, namun jumlah hasil pendapatan daripada aktiviti ini masih belum dapat ditentukan,” katanya.
Beliau berkata lesen diluluskan tertakluk kepada syarat teknikal yang ketat, termasuk penetapan kawasan dibenarkan, kaedah operasi serta pematuhan terhadap aspek alam sekitar.
“Pejabat Tanah dan Galian bersama agensi teknikal seperti Jabatan Mineral dan Geosains serta Jabatan Alam Sekitar turut dipertanggungjawabkan bagi memastikan aktiviti ini dikawal selia dengan baik serta tidak menjejaskan sungai, tebing dan ekosistem,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd Rodzi Jaafar (PAS-Gaal).
-- BERNAMA