Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] PRN Melaka: Pelancong makin ramai, peniaga masih bergelut

Jumlah kumpulan pelancong asing yang menggunakan perkhidmatan beca semakin berkurangan berbanding dahulu, terutama dari negara Asia Timur. -Gambar hiasan
Jumlah kumpulan pelancong asing yang menggunakan perkhidmatan beca semakin berkurangan berbanding dahulu, terutama dari negara Asia Timur. -Gambar hiasan
Advertisement

BANDAR HILIR: Jalanan sesak dengan pengunjung, namun tidak semua yang singgah membawa rezeki kepada peniaga kecil di kawasan pelancongan Bandar Hilir.

Bagi penjual air kelapa lambung, Nur Fatimah Abdullah, kemeriahan Jonker Walk hari ini tidak lagi menjanjikan pulangan seperti yang pernah dinikmatinya.

Selepas 14 tahun berniaga, beliau menyaksikan perubahan ketara apabila pengunjung semakin berjimat dan ada yang berkongsi minuman dalam kumpulan.

Advertisement

"Dulu jualan sehari boleh dapat RM5,000, sekarang RM1,000 pun susah. Kalau hari biasa, RM800 saja. Macam semalam dapat RM300 saja," katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.

Keadaan itu turut mendorongnya memohon lesen berniaga pada waktu pagi bagi mengelakkan stok kelapa rosak akibat operasi yang terhad kepada hujung minggu.

Advertisement
Image
Peniaga Jonker Walk
Dulu jualan sehari boleh dapat RM5,000, sekarang RM1,000 pun susah, ujar Nur Fatimah.

Ramai yang melihat, tidak semua membeli

Penjual air tembikai, Tah Koh Sei turut merasai perubahan apabila pelanggan kini lebih sensitif terhadap harga berikutan peningkatan kos bahan mentah.

"Dulu saya boleh jual 40 hingga 50 biji sehari. Sekarang paling banyak pun 20 hingga 30 biji saja," katanya.

Bagi peniaga dodol, Abbas Khan Azrin Salimi, 18, kunjungan pelancong luar Melaka masih menjadi sumber utama pelanggan, namun jualan sukar dijangka.

"Kalau kurang sambutan, orang ramai lalu pun tak ada yang nak beli. Ada yang datang tanya, rasa, kemudian terus pergi. Mereka tak beli," katanya.

Keadaan itu memperlihatkan perubahan corak perbelanjaan pelancong yang semakin memilih sebelum membuat pembelian, meskipun kawasan berkenaan terus menjadi tumpuan pengunjung.

 

Beca semakin kurang penumpang

Perubahan corak pelancongan turut dirasai pengayuh beca, Teng Swee Huat, 49, yang sudah 13 tahun mencari rezeki membawa pelancong mengelilingi Bandar Hilir.

Menurutnya, jumlah kumpulan pelancong asing yang menggunakan perkhidmatan beca semakin berkurangan berbanding dahulu, terutama dari negara Asia Timur.

"Sekarang kumpulan pelancong pun semakin kurang. Dulu ramai dari China, Hong Kong, Taiwan, Korea dan Jepun. Sekarang tak macam dulu," katanya.

Teng berkata perubahan itu turut mempengaruhi cara pelancong menikmati tarikan tempatan apabila tidak semua pengunjung memilih untuk menaiki beca seperti sebelum ini.

Menurutnya, kos penyelenggaraan beca boleh mencecah antara RM1,000 hingga RM3,000 atau lebih, bergantung kepada keadaan kenderaan dan kekerapan pembaikan.

Persaingan mendapatkan pelanggan menjadi lebih mencabar apabila jumlah beca yang beroperasi tidak semestinya seiring dengan permintaan pengunjung.

Image
Peniaga Jonker Walk
Persaingan mendapatkan pelanggan menjadi lebih mencabar apabila jumlah beca yang beroperasi tidak semestinya seiring dengan permintaan pengunjung, ujar Swee Huat.

Harap perubahan selepas pilihan raya

Seorang lagi pengayuh beca, Mohd Mohd Yunus, 59, berharap pilihan raya kali ini membawa perubahan yang dapat meringankan tekanan kehidupan golongan berpendapatan kecil.

"Buat siapa pilihan raya ni saya harap kerajaan dapatlah memperbetulkan keadaan. Kita rakyat bukan nak apa. Nak dipermudahkan urusan. Itu saja," katanya.

Menurutnya, pendapatan yang diperoleh kini kebanyakannya hanya cukup untuk menampung perbelanjaan harian dan membayar hutang, tanpa lebihan untuk disimpan.

Beliau yang sudah lebih dua dekad menjadi pengayuh beca berkata, keadaan itu berbeza dengan suatu ketika dahulu apabila pendapatan daripada membawa pelancong masih membolehkannya membuat simpanan.

Malah, beliau berpandangan peningkatan jumlah pelancong tidak semestinya memberi manfaat sama rata kepada semua sektor, termasuk pengusaha beca tradisional.

 

Zon bebas kenderaan beri peluang baharu

Bagaimanapun, pemilik restoran, Khairul Azwal Zulkifli, 50, mempunyai pengalaman berbeza apabila perniagaannya terus menunjukkan perkembangan positif sejak beroperasi pada 2019.

Beliau berpandangan pelaksanaan zon bebas kenderaan membantu mengurangkan kesesakan dan memudahkan pengunjung meneroka kawasan berkenaan dengan berjalan kaki.

Menurutnya, sebelum pelaksanaan inisiatif itu, kesesakan lalu lintas serta kesukaran mendapatkan tempat letak kereta menyebabkan sebahagian pengunjung memilih untuk meneruskan perjalanan ke lokasi lain.

Sebaliknya, kemudahan parkir setempat membolehkan pelancong menggunakan perkhidmatan beca dan pengangkutan sewaan untuk bergerak dari satu tarikan ke tarikan lain.

"Zon bebas kenderaan ini memang bagus sebenarnya. Bila orang berjalan, apabila penat mereka tentu akan berhenti di mana-mana. Rezeki masing-masinglah," katanya.

Khairul mengakui langkah itu mempunyai kelebihan dan kekurangan, termasuk kepada peniaga yang bergantung kepada kemudahan parkir berhampiran premis masing-masing.

Namun, beliau melihat pendekatan tersebut turut membuka peluang pendapatan kepada pengusaha beca, penyedia pengangkutan sewaan dan peniaga di sepanjang laluan pelancong.

Menurutnya, permintaan terhadap makanan Melayu turut menjadi kelebihan restorannya, khususnya dalam kalangan pelancong asing yang mahu mencuba hidangan tempatan.

Sebagai latar, Melaka merekodkan 11.2 juta pelancong sehingga Ogos lalu dengan anggaran sumbangan RM11.32 bilion kepada ekonomi negeri.

Namun, pengalaman pengusaha kecil di Bandar Hilir memperlihatkan bahawa peningkatan jumlah pelancong tidak semestinya diterjemahkan kepada pendapatan lebih tinggi bagi setiap perniagaan.

Must Watch Video

Advertisement