MALAYSIA
Kelantan sasar kehadiran satu juta pelancong antarabangsa tahun ini

Orang ramai mengambil kesempatan beriadah bersama keluarga di Pantai Nusuk, Kota Bharu. - Foto fail/BERNAMA
BACHOK: Kelantan menyasarkan kehadiran satu juta pelancong antarabangsa pada tahun ini, berbanding hanya 595,000 orang pada 2024, dengan tumpuan khusus kepada pasaran China dan Jepun.
Ringkasan AI
- Kelantan menyasar satu juta pelancong antarabangsa tahun ini, dengan fokus pasaran China dan Jepun.
- Datuk Kamaruddin Md Nor berkata kejayaan capai 11.1 juta pelancong pada 2024 jadi pemangkin sektor pelancongan negeri.
- Acara seperti Pesta Mmukat di Bachok dan luncur ombak di Pantai Impian dijadikan produk pelancongan unik tarik pengunjung.
"Negeri kita mungkin tidak kaya dengan sumber asli tetapi mempunyai keindahan alam, pantai serta budaya yang menjadi tarikan unik," katanya pada program Pesta Mmukat di Pantai Impian Kemasin di sini pada Sabtu.
Beliau berkata pesta itu adalah usaha baharu mempromosikan Bachok sebagai bandar pelancongan dengan menjadikan aktiviti tradisional nelayan sebagai produk pelancongan berpengalaman.
Kamaruddin berkata Pesta Mmukat bukan sekadar lokasi pengunjung bergambar, sebaliknya memberi peluang kepada mereka merasai sendiri pengalaman menarik pukat bersama nelayan, satu acara yang kini semakin jarang diadakan dan hanya terdapat di Kelantan serta Terengganu.
Beliau berkata pada 2024, acara luncur ombak di Pantai Impian Kemasin turut berjaya menarik penyertaan peserta antarabangsa kerana pantai itu dilihat sesuai berikutan keadaan ombaknya yang lebih besar berbanding pantai lain di Kelantan.
Menurut Kamaruddin, perbincangan lanjut akan dibuat bersama Persatuan Nelayan Bachok bagi menentukan bulan paling sesuai untuk penganjuran Pesta Mmukat pada tahun hadapan, sama ada Ogos atau bulan lain agar ia dapat dijadikan acara tahunan yang mampu menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.
"Negara kecil seperti Fiji dan Maldives mampu menjadi destinasi terkenal kerana keindahan pantai. Bachok juga boleh menonjol sebagai mercu tanda pelancongan Malaysia dengan kelebihan alam semula jadi dan warisan budaya yang ada," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami