MALAYSIA
Kelantan sokong semakan undang-undang rogol bawah umur suka sama suka

Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata adalah tidak adil jika hanya pihak lelaki dipersalah dalam perbuatan zina yang dilakukan secara sukarela bersama pihak perempuan. - Gambar/ Bernama
KOTA BHARU: Kerajaan negeri menyifatkan cadangan Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat supaya tindakan undang-undang dikenakan terhadap kedua-dua pihak dalam kes rogol bawah umur, yang melibatkan hubungan suka sama suka, sebagai wajar diteliti.
Ringkasan AI
- Kerajaan negeri Kelantan menyifatkan cadangan Ketua Polis Kelantan agar tindakan dikenakan terhadap kedua-dua pihak dalam kes rogol bawah umur secara suka sama suka sebagai wajar diteliti, bagi memastikan keadilan dan tanggungjawab bersama.
- Timbalan Menteri Besar Kelantan mencadangkan penubuhan jawatankuasa oleh Kerajaan Persekutuan untuk mengkaji cadangan tersebut, dengan hukuman berbentuk pendidikan dan pengajaran, bukan semata-mata jenayah.
- Dalam kes zina bawah umur, lazimnya hanya pihak lelaki didakwa, sedangkan perbuatan dilakukan secara rela; kerajaan negeri menyokong pendekatan mendidik kedua-dua pihak agar tidak hanya menghukum sebelah pihak.
"Kalau pihak perempuan dilepaskan begitu sahaja, seolah-olah tiada peringatan kepada mereka sedangkan perbuatan zina itu dipersetujui bersama... kelonggaran ini dibimbangi menyebabkan kes berulang," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Beliau mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji cadangan itu supaya pasangan yang terlibat dapat dikenakan tindakan sewajarnya.
"Hukuman itu tidak semestinya berbentuk jenayah tetapi lebih kepada pengajaran dan pendidikan kepada kedua-dua pihak," katanya.
Mohamed Fadzli juga berkata dalam kes zina bawah umur, lazimnya pihak lelaki akan berdepan pertuduhan rogol jika berumur melebihi 16 tahun manakala pihak perempuan terlepas.
"Sebab itu, kita berpendirian kedua-dua pihak sama ada lelaki atau perempuan perlu bertanggungjawab... Kerajaan negeri menyokong apa yang disebut oleh Ketua Polis Kelantan... ia bukan bermaksud menghukum semata-mata tetapi mendidik agar tindakan tidak hanya dikenakan kepada sebelah pihak," katanya.
Pada Isnin lepas, Mohd Yusoff mencadangkan agar undang-undang sedia ada diteliti semula, khususnya dalam kes hubungan seksual bawah umur secara suka sama suka, supaya tindakan tidak hanya diambil terhadap pelaku lelaki sebaliknya turut dikenakan ke atas pasangan mereka.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kenyataan Mohd Yusoff itu adalah pandangan peribadi yang lahir daripada kebimbangan terhadap angka dan statistik kes seksual di Kelantan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami