#KelantanKamiDatang baru sahaja dilancarkan pada Selasa, namun setakat hari ini bantuan dan derma yang diterima sangat memberangsangkan.

Dilancarkan hanya di laman sosial, #KelantanKamiDatang di bawah misi membawa seberapa banyak bantuan yang diterima kepada mangsa banjir di negeri Kelantan pada Sabtu ini.

Setakat ini, lebih RM4,000 telah berjaya dikutip dan banyak bantuan makanan telah diterima hasil dari sebaran tweet dari orang ramai.

#KelantanKamiDatang masih memerlukan bantuan seperti ubat-ubatan, lampin pakai buang bayi, selimut, tuala, air bersih dan keperluan harian.

Menurut pengendali misi bantuan ini Rozeeta Abd Manan atau Ozzie ketika dihubungi Astro AWANI, satu perjumpaan untuk sukarelawan akan diadakan pada malam ini di Wangsa Melawati.

“Malam ini kami akan adakan perjumpaan untuk berbincang mengenai perjalanan dan mengaturkan sukarelawan. Ia akan diadakan di Wangsa Melawati. Bantuan yang diterima akan dibawa menggunakan dua lori yang akan ke Rantau Panjang dan Kuantan diiringi pihak berkuasa.

Sekiranya ada yang mahu menghulurkan bantuan atau menjadi sukarelawan, boleh terus menghubungi saya atau cari di hashtag #KelantanKamiDatang” kata Ozzie yang hanya melancarkan misi ini secara persendirian bersama beberapa rakannya yang lain.

Ikuti Twitter @OwToTheZie untuk maklumat lanjut mengenai misi bantuan #KelantanKamiDatang.













Jumlah mangsa banjir di kebanyakan negeri yang terjejas terus meningkat dengan keseluruhan 62,836 penduduk telah dipindahkan sehingga tengah hari ini, berbanding 58,705 pagi tadi.

Di Kelantan jumlah mangsa banjir kini mencecah 26,137 orang berbanding 24,765 yang dicatat pagi tadi.

Jajahan paling teruk terjejas ialah Gua Musang membabitkan 6,947 penduduk dipindahkan, meningkat 1,688 orang berbanding pagi tadi.

Peningkatan jumlah mangsa banjir turut dicatatkan di Tanah Merah (801), Kota Baharu (276), Jeli (557) dan Machang (178).