MALAYSIA
Kelate Charity Festival himpun usahawan Kelantan, padat aktiviti bantu golongan memerlukan

Sambutan luar biasa pengunjung yang membanjiri Stadium Muhammad IV Kota Bharu bagi acara Malam 1111 pendikir sempena Kelate Charity Festival.
KOTA BHARU: Kelate Charity Festival (KCF) yang berlangsung selama empat hari di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, menjadi platform menghimpunkan lebih 100 usahawan Kelantan dalam satu penganjuran berteraskan kebajikan, budaya, kerohanian dan kemasyarakatan.
Pengerusi Madoo Bee Marketing Sdn Bhd, Mohd Haffiz Mohd Rasdin berkata, festival bermula Jumaat itu, bukan sahaja membuka peluang menjana ekonomi, malah menggalakkan rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan usahawan untuk menyumbang kepada golongan memerlukan.
“Kelate Charity Festival ini diinspirasikan oleh semangat keusahawanan anak Kelantan. Ia bukan sekadar medan perniagaan, tetapi juga satu platform untuk menyemai nilai kebajikan. Hasil perniagaan disalurkan kepada mereka yang memerlukan melalui saluran seperti MAIK, zakat dan tabung khas,” katanya kepada Astro AWANI.
Beliau menjelaskan, KCF kali ini merupakan penganjuran kali kedua selepas edisi pertama pada 2019 yang dikenali sebagai Charity Drive, melibatkan pemilik 'supercar' dari Kuala Lumpur dan sumbangan kepada 500 asnaf.“Tahun ini kita tampil lebih besar dengan penglibatan ikon usahawan muda dan pelbagai aktiviti seperti Kelate Charity Walk yang disertai Tengku Mahkota Kelantan, bertujuan merapatkan hubungan rakyat dan institusi diraja,” tambahnya.
Antara rakan strategik festival ialah HMS Maju Group sebagai pelaksana dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) sebagai pemudah cara antara penganjur dan agensi kerajaan.
Pengarah Urusan HMS Maju Group, Hafiz Mat Sulaiman berkata, sasaran kehadiran pengunjung adalah 70,000 orang, dengan lebih 40,000 telah hadir setakat ini.
“Sebagai pengurus acara, kami berkolaborasi dengan Madoo Bee dan PKINK untuk menjayakan festival ini. Tagline kami ‘Kasih Disemai, Rezeki Dikongsi, Budaya Kelantan’ menggambarkan semangat festival ini,” katanya.
Festival turut menampilkan program Kelantan Berselawat yang disertai pelajar pondok, persembahan kebudayaan, pameran kereta, jualan gerai dan pelbagai aktiviti komuniti.
Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Datuk Zamri Ismail menyifatkan KCF sebagai usaha murni yang selari dengan matlamat PKINK untuk merancakkan ekonomi negeri.
“Penganjuran ini bukan sahaja menghimpunkan usahawan, tetapi juga menyatukan elemen kerohanian dan kebudayaan. Ia wajar disokong kerana memberi impak langsung kepada pembangunan ekonomi dan sosial rakyat Kelantan,” katanya.
Festival turut meraikan 500 golongan asnaf yang menerima sumbangan daripada penaja seperti Maybank, Bank Muamalat dan Agrobank.
Penganjur berharap KCF akan terus menjadi platform tahunan yang menyatukan usahawan Kelantan dan luar negeri, termasuk dari Thailand, dalam usaha memperkukuh ekonomi dan menyantuni masyarakat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami