MOSCOW: Tentera Amerika Syarikat (AS) sedang bersiap sedia melaksanakan hukuman mati terhadap empat anggota tentera, sekiranya Presiden AS Donald Trump mengeluarkan arahan sewajarnya, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik media AS.
Menurut ABC yang memetik dokumen dalaman Tentera AS, perkara itu berkemungkinan menjadi pelaksanaan hukuman mati pertama seumpamanya dalam tempoh lebih setengah abad.
Pelan dengan nama kod “Operation Resolute Justice” itu diedarkan untuk kegunaan dalaman pada Februari dan berkaitan persiapan pelaksanaan hukuman mati terhadap empat banduan tentera yang telah disabitkan kesalahan di sebuah kemudahan di Terre Haute, Indiana, tempat banduan awam pernah menjalani hukuman mati, lapor penyiar itu pada Sabtu.
Menurut pelan itu, beberapa unit tentera diarahkan memastikan hukuman mati dilaksanakan “selewat-lewatnya 150 hari dari tarikh kelulusan presiden terhadap hukuman berkenaan.”
Banduan yang berdepan hukuman mati itu disabitkan kesalahan membunuh dan merogol.
Pelaksanaan hukuman mati terakhir terhadap anggota tentera AS di negara itu berlaku pada 1961, apabila seorang askar, John Bennett, dihukum mati selepas disabitkan kesalahan merogol dan cuba membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Austria.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI