IPOH: Seorang kelindan lori mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat atas dua pertuduhan melakukan ugutan bunuh serta menghina polis, melalui panggilan telefon, Disember lalu.

Tertuduh, G Patrick Dass, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menakutkan secara jenayah dengan niat menyebabkan kegentaran terhadap seorang lelaki berusia 21 tahun dengan ugutan hendak menyebabkan kematian.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Persiaran Tawas Permai 8, Taman Tawas Permai, Ipoh, kira-kira jam 6.52 petang 19 Disember lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia turut didakwa berkelakuan aib dengan mengeluarkan perkataan 'mayiru' kepada pegawai polis berpangkat Inspektor yang menjalankan tugas bertempat di Pejabat Pegawai Penyiasat Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh kira-kira jam 8.30 malam pada tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14  akta Kesalahan Kecil 1955 yang sabit kesalahan memperuntukkan denda tidak lebih RM100.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda bagi tuduhan pertama dan denda RM100 atau penjara 14 hari bagi tuduhan kedua.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sufi Aiman Azmi manakala tertuduh diwakili peguam J K Kala.