Kelindan treler maut nahas dua kenderaan berat di Lebuhraya Utara Selatan

Kemalangan berlaku di KM386 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Slim River pagi ini, melibatkan sebuah lori bonded tiga tan dan sebuah treler, mengakibatkan seorang maut. - Foto JBPM Perak
IPOH: Seorang kelindan treler maut selepas kenderaan yang dinaikinya terlibat dalam nahas dengan sebuah lori di Kilometer 386, Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, dekat Slim River, pagi ini.
Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.45 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, kemalangan melibatkan sebuah lori bonded tiga tan membawa muatan barangan plastik dengan sebuah treler yang membawa muatan gula pasir.
“Setibanya jentera di lokasi, didapati lori bonded telah terbabas ke dalam longkang dan terdapat seorang pemandu lelaki berusia 32 tahun mengalami kecederaan ringan.
“Treler terlibat pula terbabas ke bahu jalan lalu terbalik. Pemandu seorang lelaki berusia 51 tahun selamat.
"Manakala kelindan lori, seorang lelaki berusia 33 tahun telah tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata ketua operasi melakukan size-up dan mengaplikasikan konsep SAVER mengarahkan anggota melakukan kerja penyelamatan dengan mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Menurutnya, mangsa yang disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) kemudiannya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, pemandu lori bonded tiga tan yang cedera telah diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan KKM.
Operasi yang membabitkan lapan anggota dari BBP Slim River tamat jam 11.30 pagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


