SIKAP berlumba-lumba dan sentiasa mahu menjadi orang pertama menyebarkan berita sensasi tanpa peduli untuk menyemak dahulu kesahihan fakta menjadi antara punca penyebaran maklumat palsu.

Penularan berita palsu mudah berlaku, tambahan pula dalam suasana dunia tanpa sempadan dan kemajuan digitalisasi hari ini, yang dikatakan menyumbang kepada kekeliruan orang ramai dalam menentukan kebenaran sesuatu maklumat.

Orang ramai perlu bertanggungjawab dalam setiap apa yang dikongsi selain cakna untuk menyemak segala informasi, khususnya ketika dunia dilanda penularan pandemik COVID-19 kerana ia membabitkan nyawa.

Mengambil pendekatan lebih agresif berhubung isu berita palsu, beberapa buah negara telah mewujudkan undang-undang drakonian bagi memastikan media terkawal berhubung berita atau isu-isu COVID-19.

Sebagai contoh, Rusia mengawal penyebaran berita palsu dengan mengenakan hukuman berat sehingga lima tahun penjara. Hungary pula, ketika kes COVID-19 mula dikesan di negara itu, meluluskan hukuman setahun penjara pada yang didapati menyebar maklumat palsu. Filipina dan Vietnam juga mengambil pendekatan yang seumpamanya.

Terdahulu, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) memberi amaran bahawa perkara ini mendorong kepada penerimaan berita palsu dan menolak maklumat yang benar.

Sebuah kajian turut menunjukkan anggaran kira-kira 800 orang di seluruh dunia dilaporkan meninggal dunia gara-gara berita palsu berkaitan COVID-19, antaranya kerana percaya dengan mengambil bahan mengandungi metanol atau bahan peluntur boleh merawat dan mencegah penyakit itu.

BACA: COVID-19: Percaya metanol boleh sembuhkan, 700 maut di Iran

Ketua Bahagian Khidmat Pelanggan Pharmaniaga Logistics Sdn. Bhd. Norhana Nawawi Suri berkata, sekiranya seseorang individu terus menyebarkan maklumat tanpa terlebih dahulu menyemak fakta, maka bermulalah rantaian penyebaran maklumat tidak benar tersebut.

Beliau turut menyatakan selain berita palsu, salah faham mengenai vaksin ketika ini turut disebabkan penyebaran atau perolehan maklumat tidak lengkap mengenainya.

Jumlah kes baharu positif COVID-19 di Malaysia terus menunjukkan konsisten trend empat angka.

“Maklumat sains mengenai vaksin adalah sangat kompleks dan memerlukan penerangan teliti bagi seseorang untuk memahaminya. Bagi mereka yang tiada asas pengetahuan sains, akan timbul pelbagai andaian dan membawa kepada salah faham. Ia menjadi lebih buruk apabila maklumat tidak tepat ini disebarkan dan tular.

“Ada juga mengaitkan isu vaksin ini dengan agama dan berbahas bahawa vaksin tiada pada zaman Rasulullah SAW. Apa yang perlu diperhatikan di sini adalah perkembangan tamadun Islam menunjukkan bagaimana saintis dan pakar perubatan menghasilkan teknik perubatan. Perkembangan sains dan teknologi moden sehingga kini terus berusaha menghasilkan vaksin yang efektif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.

Menurut Norhana, usaha-usaha dalam memahamkan masyarakat berkaitan isu vaksin dan COVID-19 wajar dilakukan secara berterusan dan maklumat disampaikan perlu konsisten.

“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) misalnya begitu aktif menyampaikan maklumat melalui semua platform termasuk media sosial, malah media arus perdana turut membuat temu ramah bersama pakar-pakar kesihatan bagi mendapatkan penerangan yang dapat difahami oleh orang awam.

“Kumpulan ahli agama dan alim ulama juga terlibat memberi penjelasan daripada perspektif agama. Semua pihak berganding bahu dalam memainkan peranan masing-masing untuk mencegah salah faham mengenai vaksin dalam setiap kumpulan masyarakat,” ujarnya.

Usaha memahamkan masyarakat berkaitan isu vaksin dan berkaitan COVID-19 wajar dilakukan secara berterusan dan maklumat disampaikan perlulah konsisten.

Selaku syarikat farmaseutikal nasional terbesar di Malaysia, Pharmaniaga, turut mengambil tanggungjawab dalam menyalurkan maklumat dan pengetahuan kepada masyarakat menerusi pelbagai usaha dan platform.

Beliau turut menasihatkan agar masyarakat tidak terperdaya dengan maklumat palsu dan dakyah berkaitan vaksin, sebaliknya mendapatkan maklumat daripada laman web KKM, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan media rasmi dalam mahupun luar negara, bukannya daripada sumber bersifat propaganda dan khabar angin.

Ditanya berhubung sepucuk surat terbuka kepada Perdana Menteri Malaysia daripada 46 pakar kesihatan terkemuka negara baru-baru ini, Norhana berpendapat pandangan mereka wajar dipertimbangkan berdasarkan kepakaran dan rekod dalam bidang perubatan di Malaysia.

BACA: COVID-19: Surat terbuka 46 pakar merayu kepada PM

“Salah satu cadangan penting yang diusulkan oleh pakar-pakar ini adalah agar proses meluluskan vaksin COVID-19 dipercepatkan, bahkan sebenarnya KKM telah mewujudkan prosedur pendaftaran fast track bagi produk farmaseutikal untuk tujuan kegunaan semasa bencana, tanpa mengkompromi soal kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk.

“Saya yakin ia secara langsung memberikan mesej kepada semua kumpulan masyarakat yang vaksin adalah penting, ianya bukan mitos seterusnya menangkis salah faham dan berita palsu,” katanya.

Muhyiddin amat mengalu-alukan pandangan serta idea daripada pakar dalam membendung penularan COVID-19 ketika ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad lalu bersetuju untuk membentuk Kumpulan Penasihat Kesihatan dan Saintifik COVID-19 yang berperanan memberi nasihat kepada kerajaan dalam menangani penularan COVID-19 dalam negara.

BACA: Kerajaan setuju bentuk Kumpulan Penasihat Kesihatan dan Saintifik COVID-19 - PM

Langkah tersebut merupakan respons kepada surat terbuka yang ditulis oleh 46 pakar kesihatan yang meminta kerajaan mengambil tindakan segera bagi mengelakkan situasi COVID-19 dalam negara semakin memburuk sebelum ini.