TAIPING: Kelonggaran bagi murid dan pelajar di seluruh negara hadir ke sekolah tanpa memakai pakaian seragam masih terpakai pada tahun 2024, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Katanya, keputusan yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung perkara itu sebelum ini merupakan salah satu inisiatif dalam membantu para pelajar.

"Keadaan sekarang kita boleh lihat, sekolah di negeri Pantai Timur dilanda bencana banjir. Bagi pihak KPM, kita selalu berpegang kepada prinsip kemanusiaan serta bertimbang rasa.

"Kita mahu memberikan kesenangan dan kelonggaran kepada para murid dan pelajar dalam sesi pembelajaran mereka, kerana pembelajaran itu lebih penting berbanding isu lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung garis panduan pemakaian seragam bagi sesi persekolahan tahun 2024 pada sidang media malam tadi.

Wong yang juga Ahli Parlimen Taiping ditemui selepas menyempurnakan Program Semarak Taiping 150 di Dataran Warisan, di sini.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping Khairul Amir Mohamad Zubir.

Sementara itu, ketika ditanya sehingga bila kelonggaran diberikan, beliau berkata ia terpakai sehingga satu tempoh yang akan dinyatakan kelak.

"Kita akan pantau dari masa ke semasa mengenai kelonggaran ini. Buat masa sekarang, tidak ada perbincangan sampai bila.

"Tetapi, kita sedia maklum, isu yang perlu kita tangani sekarang bukan hanya cuaca panas, tetapi juga mengambil kira pelajar yang ditimpa musibah banjir.

"Peralatan dan pakaian sekolah mereka mungkin rosak akibat banjir. Apa yang penting kita mahu pastikan anak-anak ini sedia untuk kembali ke sekolah dan belajar," katanya.

Pada 3 Mei 2023, KPM membenarkan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikannya memakai pakaian atau baju sukan ekoran cuaca panas.

Kebenaran khas itu bertujuan mengelakkan sebarang komplikasi kepada kesihatan.