NATIONAL
Keluarga budak maut tertinggal dalam van sekolah mahu keadilan

Keluarga kepada kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang maut selepas dipercayai ditinggalkan dalam van sekolah di Taman Bukit Indah berharap keadilan dapat ditegakkan untuk anak mereka. -Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Keluarga kepada kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang maut selepas dipercayai ditinggalkan dalam van sekolah di Taman Bukit Indah pada Selasa, berharap keadilan dapat ditegakkan untuk anak mereka.
Ringkasan AI
- Keluarga kepada kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang maut selepas dipercayai ditinggalkan dalam van sekolah di Taman Bukit Indah berharap keadilan dapat ditegakkan untuk anak mereka.
- Bapa mangsa, Teo Jia, menyuarakan kekecewaan terhadap pemandu van dan pihak tadika yang didakwa gagal memantau kehadiran murid serta tidak menghubungi ibu bapa lebih awal.
- Teo berharap siasatan terperinci dilakukan dan tindakan undang-undang diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab agar insiden tragis itu tidak berulang.
“Cikgu telefon suruh saya dan isteri datang segera ke hospital swasta berhampiran rumah kerana anak dalam kecemasan.
“Apabila sampai, anak saya sudah terbaring kaku. Doktor cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan Yu Zie yang merupakan satu-satunya anak kami,” katanya ketika ditemui pada Khamis.
Menurutnya, anaknya menaiki van dari rumah mereka di Taman Bukit Indah pada jam 7.15 pagi dan biasanya tiba di tadika sekitar jam 8.15 pagi.
“Mungkin anak saya tertidur ketika itu, pemandu van mungkin tidak menyedarinya. Kira-kira jam 12 tengah hari anak saya ditemui sudah tidak bernyawa di bahagian pintu van, mungkin hendak keluar tetapi tidak dapat.
“Saya kecewa, sepatutnya pemandu van periksa betul-betul dan pastikan semua budak turun dahulu sebelum boleh tutup pintu atau beredar,” katanya.
Teo yang bekerja di Singapura turut menyuarakan kekecewaan terhadap pihak tadika yang menurutnya gagal memantau kehadiran murid serta tidak menghubungi ibu bapa lebih awal.
“Kalau budak tak datang, tadika patut semak kehadiran dan hubungi ibu bapa. Ini semua kecuaian. Saya tak mahu perkara ini terjadi kepada anak orang lain,” ujarnya.
Katanya lagi, Yu Zie telah dihantar ke tadika berkenaan sejak berusia dua tahun dan mereka hanya mula menggunakan perkhidmatan van sekolah sejak pertengahan tahun lalu.
Beliau berharap siasatan terperinci dilakukan dan tindakan undang-undang diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab agar insiden tragis itu tidak berulang.
Jenazah mendiang Yu Zie akan dikebumikan di Nirvana Memorial Park Christian Kong Kong, Masai. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami