Selepas negara dikejutkan dengan kematian pegawai kadet laut dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mangsa Zulfarhan Osman, 21, yang dipercayai didera rakan dengan seterika wap, kali ini kejadian hampir serupa dilaporkan menimpa dua remaja lelaki di Pulau Pinang.

Dua remaja terbabit dipukul dengan topi keledar dengan salah seorang mangsa didakwa diliwat, dan mempunyai kesan melecur di bahagian belakang badan sehingga mangsa kini bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang.

Menurut ibu saudara, mangsa, G Paramitha, anak saudaranya, T Nhaveen, 18 tahun kini tidak sedarkan diri dan pihak hospital memaklumkan mangsa kini koma.

Paramitha yang ditemui di HPP pada Isnin berkata, ahli keluarga kesal dengan kejadian tersebut dan mahu pihak polis mengambil tindakan wajar terhadap kumpulan terbabit yang bertindak memukul mangsa sehingga koma.

Ujarnya, tindakan memukul sehingga membahayakan nyawa ini sepatutnya tidak berlaku dan mereka tidak mahu kejadian sama berulang dan menimpa keluarga orang lain pula.

Selain Nhaveen, seorang lagi mangsa, T Previin , 19 tahun juga sedang menerima rawatan di hpp kerana kecederaan di bahagian muka. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar berkata polis sudah menahan lima lelaki berusia 18 hingga 25 tahun yang terlibat dalam kes dua remaja cedera parah dipukul kumpulan berkenaan dalam kejadian di jalan kaki bukit, Sabtu lalu.

Kesemua mereka ditahan reman selama empat hari mulai 10 Jun hingga 13 Jun ini bagi membantu siasatan .

Dalam kejadian jam 2.10 pagi itu, dua mangsa berusia 18 dan 19 tahun sedang membeli burger sebelum terserempak dua lelaki dikenali mereka dan berlaku ejek mengejek serta berlarutan sehingga suspek menelefon enam lagi rakan.

Dua mangsa itu dipukul menggunakan helmet serta ditumbuk dan ditendang oleh kumpulan berkenaan sebelum remaja berusia 19 tahun berjaya menyelamatkan diri dan memaklumkan kejadian tersebutkepada bapa saudaranya.

Seorang lagi mangsa telah dibawa menaiki motosikal suspek ke kawasan padang berdekatan dan pukul kumpulan itu hingga mengalami kecederaan parah.

Mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang oleh orang awam dan dilaporkan dalam keadaan kritikal.