KUALA LUMPUR : Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual 2021 (AGS 2021) yang diluluskan Dewan Rakyat semalam akan menolak kenyataan kononnya perbuatan tersebut suatu perkara kecil atau gurauan semata-mata.

Pensyarah Kanan Rancangan Pengajian Gender Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Dr Lai Suat Yan berkata, ia sekali gus membolehkan satu tindakan dikenakan ke atas mereka yang bersalah melakukan kesalahan itu.

"Saya memang betul-betul sangat gembira apabila mendapat berita ia telah diluluskan, terutama kerana sudah sekian lama kita memperjuangkannya.

"Kepentingan undang-undang tersebut menidakkan wacana bahawa gangguan seksual adalah satu gurauan semata-mata, suatu yang kecil dan tidak serius, atau kebiasaan.

"Apabila ia diluluskan, ia menyampaikan mesej bahawa gangguan seksual itu adalah suatu yang tidak seharusnya kita terima, sebaliknya tindakan boleh dikenakan kepada mereka yang mengganggu secara seksual.

"Maka dengan RUU tersebut, kita sudah mempunyai satu kerangka dengan prosedur yang sistematik untuk mengendalikan kes gangguan seksual secara piawai, bukan sahaja di tempat kerja, tetapi juga di institusi pengajian awam atau di tempat awam," katanya kepada Astro AWANI pada Khamis. 

BACA: Dewan Rakyat lulus RUU Antigangguan Seksual selepas 10 tahun dirangka

Dalam pada itu, Lai menyifatkan perubahan kepada minda yang peka gender adalah cabaran utama dalam pelaksanaan RUU Antigangguan Seksual 2021.

Malah, katanya, pelantikan ahli Tribunal bagi RUU Antigangguan Seksual kalangan wanita, tidak memberi 100 peratus jaminan ia peka gender.

"Cabaran utama ialah dari segi minda, iaitu mempunyai minda yang peka gender. Kalau kita lihat dalam peruntukan undang-undang, ia telah berusaha ke arah tersebut.

"Antara lain, saya petik, dari segi peruntukan dalam RUU, di mana ada dinyatakan bahawa ahli tribunal haruslah mereka yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman praktikal dalam perkara melibatkan gangguan seksual.

"Dan sekurang-kurangnya seorang harus terdiri daripada wanita, supaya sudut pandang wanita juga diambil kira. Namun, ia bukan jaminan bahawa ia adalah peka gender. Ia tidak menjamin itu 100 peratus," jelasnya.