KUALA LUMPUR: Biarpun pengajaran Bahasa Inggeris melalui Program Dwi Bahasa (DLP) di sekolah semakin mendapat tempat dalam kalangan ibu bapa, aspek kualiti dalam pengajaran tidak boleh diabaikan.

Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 dalam satu kenyataan berkata, guru perlu menunjukkan keyakinan menggunakan bahasa Inggeris dalam mengajar mata pelajaran matematik dan sains  pelajar dapat mengikuti pelajaran sekali gus memupuk minat mereka dalam kedua-dua subjek ini.

"Terdapat aduan bahawa kerana guru tidak dapat memberi penerangan dengan jelas dalam bahasa Inggeris, membuatkan pelajar cenderung hilang minat dalam mata pelajaran terbabit.

"Pelajar yang ibu bapanya mampu memberikan tuisyen persendirian bagi subjek matematik dan sains mungkin tidak bermasalah, tetapi pelajar lain yang berasal daripada keluarga miskin mungkin hilang minat untuk belajar matematik dan sains jika guru mereka lemah dalam penguasaan bahasa," katanya.

G25 menggesa Kementerian Pendidikan mempertimbangkan juga kaedah lain bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, selain DLP. Salah satunya ialah menerusi pendekatan mendalam di pusat pembelajaran terpilih di peringkat sekolah dan pendidikan tinggi, seperti yang dicadangkan oleh beberapa pakar pendidikan.

Tambah mereka, Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka yang mempunyai pendedahan tinggi kepada perdagangan dan pelaburan antarabangsa, mesti terus menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris secara meluas dalam menghadapi persaingan global dalam bidang teknologi dan ekonomi bagi meningkatkan taraf hidup.

G25 turut menggesa Kementerian membentangkan laporan kemajuan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan dengan bantuan Unit Prestasi Pengurusan dan Penyampaian (PEMANDU) untuk memberikan cadangan bagi meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini.