KUALA LUMPUR: Jumlah 35 kematian yang direkodkan akibat kemalangan jalan raya pada hari ketiga Op Selamat seharusnya menghadirkan kebimbangan kepada rakyat Malaysia.

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan UPM, Prof Madya Dr Law Teik Hua, berkata statistik yang menyatakan lebih 6,000 orang meninggal dunia akibat kemalangan dalam setahun juga sangat membimbangkan.

Menurutnya, angka kematian itu sangat besar meskipun Malaysia sebuah negara aman dan damai, serta tidak terlibat dalam konflik peperangan.

Meskipun dalam keadaan yang aman, katanya, jumlah kematian dalam setahun akibat kemalangan adalah tinggi.

“Kita mesti insaf... kita seolah-olah dalam keadaan darurat. Saya boleh kata macam itu sebab musuh kita ialah kemalangan jalan raya.

“Mungkin kita boleh terlibat (mengurangkan statistik kemalangan). Bukan kita saja, malah kawan kita, dan ahli keluarga kita juga. Dengan ada perubahan minda, kita akan berjaga-jaga bila-bila saja kita memandu.

“Apabila semua orang ada pemikiran sebegitu, mungkin kita ada peluang untuk tunjukkan negara ini memang aman damai,” katanya kepada Astro AWANI.

Tambahnya, rakyat Malaysia terlalu positif, dengan menganggap bahawa mereka tidak akan terlibat dalam kemalangan setiap kali melihat kemalangan di depan mata.

Tegasnya, persepsi itu harus diubah kerana semua orang terdedah kepada risiko kemalangan.

Kes kematian akibat kemalangan jalan raya meningkat mendadak apabila 35 kes direkodkan pada hari ketiga Op Selamat ke-22.

Jumlah kemalangan maut meningkat hampir sekali ganda itu berbanding 18 kematian yang direkodkan pada hari kedua operasi berkenaan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui infografik yang dikongsi melalui Facebook memaklumkan sejumlah 1,289 kes kemalangan jalan raya dilaporkan berlaku di seluruh negara pada hari tersebut.