IPOH: Identiti jenazah dua daripada lima penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang rentung dalam kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah utara awal pagi Khamis, telah dikenal pasti petang tadi.

Dua jenazah itu ialah Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, dari Kemaman, Terengganu dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dari Parit Buntar, Perak.

Timbalan Naib Canselor Pentadbiran dan Kewangan USAS, Prof Madya Dr Anas Md Yusof berkata, tiga lagi jenazah akan dihantar ke Hospital Taiping untuk pemeriksaan lanjut.

“Alhamdulillah, dua mayat mangsa dah dikenal pasti dan diuruskan untuk solat jenazah di masjid USAS sebelum dihantar ke Parit Buntar dan Kemaman, Terengganu,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Kemalangan Maut | Lima rentung di PLUS merupakan penuntut USAS

BACA: Lima mangsa rentung disahkan pelajar USAS

Tiga lagi jenazah yang belum dikenal pasti identiti ialah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, dari Kubu Bharu, Selangor; Iqbal Hasnun Halimi, 23, dari Senai, Johor dan Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dari Batu Caves, Selangor.

Dalam kemalangan awal pagi Khamis, kereta dinaiki lima mangsa yang rentung dalam nahas tiga kenderaan di PLUS itu dipercayai dirempuh dari belakang sebelum terbakar.

Siasatan awal polis mendapati kereta mangsa berada di belakang treler membawa muatan mozek di lorong kanan disebabkan lorong kiri laluan KM246-244.4 ditutup untuk penyelenggaraan jalan.

Secara tiba-tiba, sebuah treler membawa muatan besi pagar dari arah belakang kereta tidak sempat membrek lalu merempuh belakang kereta mangsa sebelum menyeretnya ke hadapan sehingga melanggar belakang treler muatan mozek.

Akibat nahas tersebut, treler muatan besi pagar terbakar sebelum api merebak ke bahagian kepala treler dan kesemua mangsa di dalam kereta jenis Honda City itu tidak dapat menyelamatkan diri kerana tersepit.