KUALA KANGSAR : Identiti tiga lagi jenazah penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang rentung dalam kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara awal pagi Khamis, telah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, identiti mereka disahkan melalui rekod pergigian ketika proses pengecaman di Hospital Taiping.

Menurutnya, ketiga-tiga mereka ialah Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dari Batu Caves, Selangor; Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, dari Kuala Kubu Bharu, Selangor dan Iqbal Hasnun Halimi, 23, dari Senai, Johor.

“Identiti ketiga-tiga mayat telah disahkan berdasarkan perbandingan dengan rekod pergigian dari klinik dan institut pergigian lain,” katanya di sini, malam ini.

BACA: Kemalangan maut penuntut USAS: Guna rekod pergigian kenal pasti identiti 3 lagi jenazah

BACA: Kemalangan maut penuntut USAS: 2 daripada 5 jenazah rentung dikenal pasti

BACA: Lima mangsa rentung disahkan pelajar USAS

Menurut beliau, kesemua jenazah dijangka diserahkan kepada waris selepas selesai proses pengecaman mayat malam ini.

Semalam indentiti dua jenazah penuntut USAS yang turut rentung dalam kemalangan tersebut telah dikenalpasti.

Dua jenazah itu ialah Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, dari Kemaman, Terengganu dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dari Parit Buntar, Perak.

Jenazah Ahmad Akmal selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Hijau, Kampung Kedah, Parit Buntar pada pukul 11.20 malam tadi manakala jenazah Ahmad Naim Najmi di Tanah Perkuburan Kijal, Chukai, Terengganu pada Jumaat pagi.

Jenazah Muhammad Nabil Haikal, Muhammad Nasrun dan Iqbal Hasnun akan disolatkan di Masjid Raja Permaisuri Bainun USAS sebelum dibawa pulang ke kampung masing-masing untuk dikebumikan.