TUARAN: Penduduk di 10 buah kampung sekitar Tamparuli di sini yang berhadapan masalah bekalan air bersih ekoran cuaca panas dan kemarau yang melanda sejak sebulan lepas memohon Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah itu diaktifkan bagi penyaluran bantuan.

Seorang penduduk Kampung Bulieng, Linus Lukun, 51, berkata, cuaca panas dan kemarau berpanjangan itu menyebabkan sumber air graviti yang digunakan penduduk kampung kering kontang hingga terpaksa mencari bekalan air daripada sumber lain.

Menurutnya, situasi itu menyukarkan penduduk kampung melakukan rutin harian seperti memasak, mandi dan menggunakan tandas, malah ada yang terpaksa membeli air mineral untuk menampung keperluan.

"Sebagai orang kampung yang tidak berpendapatan tetap untuk beli air mineral sebagai bekalan sangat membebankan. Saya mohon Pejabat Daerah Tuaran agar aktifkan PKOB supaya dapat selaraskan bantuan kepada kami," katanya kepada pemberita, di sini, pada Ahad.

Frank Frederick, 56, dari Kampung Wangkod pula berkata, masalah bekalan air yang berlarutan amat menyukarkan penduduk kampung terutama ketika anak-anak bakal memulakan sesi persekolahan esok dan kedatangan Ramadan.

"Anak-anak perlu mandi pagi sebelum ke sekolah supaya segar dan selesa semasa belajar, tetapi kalau tiada air bukan sahaja untuk mandi malah bekalan air minum untuk dibawa ke sekolah juga terhad atau mungkin tiada," katanya.

Penduduk Kampung Ponopuan, Nurisah Dasim, 60, berkata, masalah bekalan air dihadapi kawasan itu sangat kritikal dan amat menyukarkan terutama bagi ibu yang baru bersalin serta mereka yang mempunyai anak kecil.

"Kita tahu bayi baru lahir memerlukan penjagaan rapi terutama dari segi kebersihan. Sebagai wanita dan ibu, saya memahami akan keperitan yang dihadapi mereka. Saya merayu agar PKOB diaktifkan kerana keadaan ini sudah menjadi bencana kepada kami di sini," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau ketika dihubungi turut memohon agar PKOB di Tuaran dapat diaktifkan segera, dan telah menghubungi Pejabat Daerah Tuaran bagi mengusulkan perkara itu.

"Saya difahamkan mesyuarat akan diadakan esok bagi membincangkan bencana kemarau dan harapan saya mesyuarat itu dapat buat keputusan agar PKOB dilancarkan bagi membantu penduduk yang terjejas," katanya yang kini berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Selain tiga kampung berkenaan, kampung lain yang turut terlibat adalah Kampung Lontik/Maralamin, Kampung Tengkurangoh, Kampung Ulu Bakut, Kampung Bukit Giling, Kampung Wangkod, Kampung Kapa dan Kampung Gayaratau. - BERNAMA