[KEMAS KINI] Tuduhan rasuah RM2.8 juta: Bung Moktar dilepaskan, kes Zizie Izette diteruskan
![[KEMAS KINI] Tuduhan rasuah RM2.8 juta: Bung Moktar dilepaskan, kes Zizie Izette diteruskan [KEMAS KINI] Tuduhan rasuah RM2.8 juta: Bung Moktar dilepaskan, kes Zizie Izette diteruskan](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2026-01/41768219103_ZizieIzette.jpg)
Tiga kes bersubahat dihadapi Zizie Izette akan diteruskan selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasinya untuk mengugurkan pertuduhan berkenaan. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan dan membebaskan bekas Ahli Parlimen Kinabatangan, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin daripada tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Hakim Rosli Ahmad memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan pendakwaan terhadap Bung Moktar, 66, yang telah meninggal dunia pada 6 Dis 2025.
"Menurut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah, pihak pendakwaan telah memutuskan untuk tidak meneruskan kes terhadap tertuduh pertama (Bung Moktar).
"Mahkamah membuat keputusan untuk memberikan perintah tertuduh pertama dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan serta wang jaminan (RM100,000) dan pasport dikembalikan kepada penjamin," kata Rosli semasa sebutan kes itu hari ini.
Terdahulu, Law memaklumkan, tiga kes bersubahat dihadapi isteri Allahyarham Bung Moktar, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad akan diteruskan selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasinya untuk mengugurkan pertuduhan berkenaan.
Peguam Teh See Khoon yang mewakili Zizie Izette memohon supaya tarikh perbicaraan baharu ditetapkan pada 5, 6 dan 12 Mac ini, selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju dengan tarikh-tarikh itu.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh berkenaan untuk Zizie Izette, 47, membela diri.
Zizie Izette sepatutnya memberikan keterangan membela diri pada 12 Jan, namun prosiding ditangguhkan hari ini (16 Jan). Bung Moktar pula telah memberikan keterangan membela diri pada 2 Sept tahun lepas.
Pada prosiding hari ini, Zizie Izette dikecualikan hadir, manakala peguam Ashok Athimulan mewakili Allahyarham Bung Moktar.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015.
Selain itu, beliau didakwa menerima suapan RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund yang didaftarkan atas nama isterinya bagi tujuan sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Zizie Izette, 47, pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara dan denda sama, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


