SEPANG: Kemasukan ayam bulat import meningkat 80 peratus pada Jun kepada 471 tan metrik berbanding 258 dalam bulan Mei berikutan pemansuhan Lesen Import (AP) dan penangguhan fi permit yang bermula bulan lepas.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee berkata kemasukan keratan ayam juga meningkat sebanyak 30 peratus bulan lepas kepada 10,200 tan metrik daripada 7,800 pada Mei.

Beliau berkata prosedur pengimportan bahan makanan yang dipermudah oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) telah mempercepat proses kemasukan ayam bulat.

"Bekalan ayam di negara kita sudah stabil," katanya kepada media selepas meninjau operasi pengimportan serta pengeksportan produk pertanian dan haiwan di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Pada Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pemberhentian eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun selain pelaksanaan pemansuhan AP ayam termasuk bagi ayam bulat dan keratan ayam.

Susulan pemansuhan itu, sesiapa sahaja boleh mengimport makanan ke negara ini bagi memastikan bekalan mencukupi.

Pada 21 Jun lepas, kerajaan turut mengumumkan penangguhan kutipan fi permit bagi komoditi jagung, soya, gandum, ayam bulat dan komoditi asas makanan ternakan.

Penangguhan itu bagi memastikan sekuriti makanan dalam negara terjamin berikutan kos bahan mentah makanan ternakan yang tinggi dalam industri dikenal pasti sebagai antara faktor kenaikan harga barangan seperti ayam.

Ditanya sama ada harga siling ayam yang kini ditetapkan RM9.40 sekilogram di Semenanjung boleh diturunkan susulan bekalan yang sudah stabil, Ronald berkata ia bergantung kepada kuasa pasaran seperti kos input makanan ternakan yang kebanyakannya diimport dan tukaran mata wang asing.

"Kos input bagi pengeluaran ternakan, penanaman sayur dan banyak produk makanan yang dibuat di Malaysia sebahagian besarnya bergantung pada harga pasaran antarabangsa seperti baja dan racun.

"Ayam dan ruminan pula 70 peratus kos pengeluaran bergantung kepada kos input bijirin termasuk jagung dan soya yang diimport dari negara luar.

"Kita ternak ayam tapi kita tak tanam jagung dan soya yang menjadi keperluan kepada makanan ternakan haiwan. Jadi semua ini bergantung kepada pasaran antarabangsa," katanya.

Ronald berkata kerajaan melalui MAQIS juga telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi memudah cara prosedur pengimportan bahan makanan ke Malaysia antaranya proses kemasukan pantas 24 jam di pintu masuk negara sekali gus mengurangkan kos logistik yang terlibat dalam aktiviti pengimportan.

Beliau berkata inisiatif itu membantu 380 syarikat yang berdaftar sebagai pengimport produk makanan haiwan bagi melancarkan proses pengimportan.

"Sehingga kini, sejumlah 490 konsainan bijirin dan makanan haiwan dengan kuantiti sebanyak 173,000 tan metrik bernilai RM483 juta telah mendapat manfaat daripada proses kemasukan pantas di pintu masuk negara," katanya.

-- BERNAMA