Kemasukan murid 6 tahun: KPM perlu bersedia - Pakar

Tindakan segera perlu diambil supaya tidak berlaku situasi murid masuk kelas tanpa guru, atau kelas terlalu padat. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Cadangan membenarkan kemasukan murid berusia enam tahun ke tahun satu di bawah Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 memerlukan perancangan dan kesiapsiagaan rapi, khususnya dari segi infrastruktur dan tenaga pengajar.
Menurut Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Anuar Ahmad, kebimbangan ibu bapa terhadap kemungkinan berlaku lambakan murid tahun satu adalah wajar dan perlu diberi perhatian serius oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Beliau berkata, sekiranya persekolahan bermula pada usia enam tahun, terdapat kemungkinan murid berusia enam dan tujuh tahun akan memasuki tahun satu secara serentak, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada sistem pendidikan bersedia menerima jumlah murid yang besar.
“Jika persekolahan bermula pada usia enam tahun, ini bermakna murid enam dan tujuh tahun akan masuk sekolah serentak. Persoalannya, adakah kita bersedia dari segi bilangan kelas dan bilangan guru untuk menerima jumlah murid Tahun 1 yang mungkin sangat ramai, mungkin melebihi setengah juta orang.
"Kita masih berhadapan dengan isu kekurangan kelas dan guru. Tindakan segera perlu diambil supaya tidak berlaku situasi murid masuk kelas tanpa guru, atau kelas terlalu padat sehingga lima puluh atau enam puluh murid. Ini bukan pengalaman yang wajar diberikan kepada anak-anak, terutamanya pada hari pertama persekolahan mereka," katanya dalam diskusi AWANI Pagi pada Rabu.
Beliau berkata, tempoh setahun sebelum pelaksanaan sepenuhnya perlu dimanfaatkan sebaiknya bagi memastikan persiapan rapi dilakukan, termasuk perancangan bilangan kelas dan penempatan guru.
Anuar turut memaklumkan bahawa cadangan kemasukan murid enam tahun adalah bersifat sukarela dan keputusan akhir terletak di tangan ibu bapa, justeru data pendaftaran sebenar amat penting dalam menentukan langkah susulan kementerian.
Dalam masa sama, beliau menyambut baik beberapa inisiatif lain di bawah RPN termasuk peruntukan menaik taraf bilik guru serta bantuan pendidikan kepada golongan miskin dan OKU, yang disifatkan sebagai penambahbaikan yang sangat diperlukan oleh masyarakat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


