KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, menegaskan keputusannya untuk kembali ke politik adalah atas dasar mahukan rakyat diberi pilihan dalam membuat keputusan.

Kata Rafizi, beliau berundur tiga tahun lalu kerana merasakan ia masa yang sesuai, apatah lagi selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Mungkin orang tidak faham tindakan saya berundur diri selepas PH menang. Saya masuk Keadilan dahulu bukan kerana nak jawatan menteri, saya ada kerjaya pilihan lebih baik. Cuma saya tidak suka rakyat diperbodohkan.

"Saya mahu keadaan di mana rakyat ada pilihan, sama juga kalau orang nak minum Coke atau Pepsi, masing-masing boleh pilih. Kita mahukan keadaan yang ada timbang tara, kalau parti ini tidak bagus, boleh diganti dengan parti lain. Sejak muda pun, itulah matlamat politik saya, supaya ada gabungan alternatif.

"Semasa PH menang saya lihat semua sudah jadi menteri, ada kedudukan, ada agenda yang baik, jadi saya fikir bolehlah saya ambil masa ini untuk bersama keluarga.

"Sebelum itu juga saya ada suarakan pendirian mengenai beberapa perkara, malah dari awal lagi saya sudah sebut PH tidak boleh lari dari agenda rakyat.

"Apabila dalam bulan-bulan awal nampak PH menumpu kepada agihan kuasa, siapa berkuasa, parti mana lebih kuat, saya sebut itu akan menjahanamkan, jadi saya sudah jalankan tanggungajwab. Kalau saya terus bersuara dalam parti orang akan nampak saya macam buat kacau," katanya ketika muncul dalam sesi ‘Terus Terang Edisi Terpaling’ yang disiarkan menerusi Facebook, pada Sabtu.

Turut serta dalam sesi diskusi itu ialah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Rafizi yang juga bekas ahli parlimen Pandan baru-baru ini mengumumkan hasrat untuk kembali aktif dalam arena politik negara, dan memutuskan akan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti akan datang.

Tambahnya, rakyat kini seolah-olah hanya mempunyai dua pilihan parti yang hampir sama naratifnya, malah data menunjukkan pengundi atas pagar yang menyokong PH sebelum ini juga sudah beralih arah.

Dalam pada itu, Nurul Izzah melihat gabungan kesatuan blok pembangkang dalam apa yang disebut sebagai khemah besar perlu ditafsir secara kontekstual.

Jelasnya, apa yang penting adalah memastikan kehendak naratif masing-masing, sama ada benar-benar mahukan perubahan atau sekadar mahu mengekalkan kuasa.

"Apabila dimaklumkan ia kerana mahu pembangkang menjadi kuat, apabila campur undi kita mampu kalahkan kerusi yang dimenangi Barisan Nasional dan UMNO, kerana kalau tiada pembangkang, tiada ruang untuk membawa kebertanggungjawaban kepada kerajaan.

"Kenapa tiba-tiba perkenal gaji minima? Sebab tahu sudah sampai masa berlumba untuk dapatkan undi rakyat. Kenapa ambil dasar populis, kita faham isu pengeluaran wang KWSP.

"Tetapi kita juga tahu kalau tanpa skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan rasuah, negara ada keupayaan untuk keluarkan dana dan subsidi gaji yang memadai untuk pekerja termasuk golongan B40.

"Jadi kena lihat secara kontekstual, khemah besar mungkin boleh jadi cara bagi memastikan pembangkang bersama.

"Tetapi pembangkang sebenar adalah mereka yang tidak mudah dibuai bisikan atau tawaran. Anda benar-benar ikhlas mahu bersama pembangkang.

"Kita bercakap nak berunding, bagaimana nak pastikan parti itu berjaya, adalah kerana dia nak menjayakan rundingan tersebut," katanya lagi.