KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berpandangan penyelesaian terbaik berhubung isu melibatkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah menerusi rundingan dan musyawarah antara pihak berkepentingan.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, krisis adat yang melanda negeri berkenaan tidak seharusnya diselesaikan melalui proses perundangan atau dibawa ke mahkamah.
"Pada hemat saya, jalan terbaik ialah melalui perundingan dan tidak perlu membawa perkara itu ke muka pengadilan atau mahkamah," katanya ketika diminta mengulas keadaan semasa di Negeri Sembilan.
Beliau berkata demikian selepas sambutan Hari TVET 2.0 2026 di Dataran Putrajaya, di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan bahawa semua pihak perlu menghormati kedaulatan dan peranan Dewan Keadilan Undang (DKU) sebagai institusi yang mempunyai bidang kuasa dalam urusan berkaitan pelantikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Persekutuan kekal mengiktiraf dan akan terus berkhidmat kepada Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Perdana Menteri berkata, pendirian rasmi kerajaan itu dibuat mengikut saluran perundangan dan perlembagaan biarpun terdapat usaha memasyhurkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar, menggantikan Tuanku Muhriz.
Anwar turut mohon supaya sebarang pandangan lain mengenai isu berkenaan perlu dibuat mengikut saluran sah mengikut perlembagaan bagi mengelakkan keresahan dalam kalangan rakyat.