KUALA LUMPUR:Kemelut politik di Perak membawa satu dimensi baharu, iaitu Kerajaan sendiri terpaksa berhadapan dengan pembangkang dalam blok yang sama, kata Penganalisis Politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib.

Beliau berkata, situasi itu adalah rentetan daripada kegagalan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang tidak mendapat kepercayaan daripada majoriti kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri Kerajaan sendiri.

Ujarnya lagi, legasi itu juga berkemungkinan mempunyai sifat berantai, atau domino effect, yang membawa kemungkinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga bakal menghadapi situasi yang sama di Dewan Rakyat.

"Rumusannya ialah seseorang Menteri Besar bawah kerajaan Perikatan Nasional hari ini termasuk juga Perdana Menteri terpaksa berhadapan bukan sahaja dengan pihak pembangkang di sesuatu Dewan, tetapi juga perlu berhadapan dengan blok pembangkang di dalam Kerajaan itu sendiri. 

“Jadi ini dilema yang mewujudkan ketegangan dalam DUN Perak yang mungkin juga akan berlarutan sehinggalah ke peringkat nasional, dan ini yang membimbangkan kita, kerana implikasinya sangat besar, sangat tinggi, kita lihat legasi itu datang bersifat berangkai, atau domino effect," katanya kepada Astro AWANI hari ini.

LAPOR LANGSUNG: 'Saya akan letak jawatan dan benarkan transisi berjalan dengan baik'

BACA: Politik Perak: Perhubungan UMNO Perak adakan mesyuarat malam ini

Semalam Ahmad Faizal, yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, gagal mendapat majoriti sokongan undi dalam Dewan Undangan Negeri Perak, apabila hanya 10 daripada 59 ADUN menyokong kedudukan beliau sebagai Menteri Besar.


Difahamkan, daripada 10 ADUN yang menyokong, empat daripada parti Bersatu sendiri, tiga daripada Pas, seorang daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia, seorang daripada UMNO, dan seorang lagi wakil rakyat bebas.

Sementara itu, Md Shukri berkata, pecahan ADUN dalam Dewan Undangan Negeri menunjukkan tiada satu pun parti politik yang mempunyai jumlah mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.

Ujarnya lagi, sekiranya usaha membentuk kerajaan baharu menemui jalan buntu, tidak mustahil Perak akan diisytihar darurat, seperti mana Krisis Perlembagaan yang berlaku pada 2008 dahulu.

"Keadaan ini dilhat sudah bukan lagi kepentingan politik sahaja, tetapi melibatkan kepentingan dan gugatan awam yang mungkin kalau tak selesai, saya fikir Perak perlu diisytiharkan sebagai negeri yang darurat.

“Kerana kegiatan orang yang di Dewan Undangan Negeri itu sudah tidak mencerminkan aspirasi negeri, dan pembelaan kepada rakyat, serta meneruskan legasi kestabilan,” katanya lagi.