Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan keputusan pilihanraya kecil DUN Kuala Besut adalah suatu manifestasi pengundi di Kuala Besut masih mahukan Barisan Nasional (BN).

Walaupun peratusan keluar mengundi lebih rendah namun BN mampu meraih majoriti lebih besar berbanding pilihanraya umum ke13.

Muhyiddin yang juga pengarah pilihanraya kecil berkenaan berkata, sokongan padu daripada Perdana Menteri selaku Presiden UMNO ternyata menjadi pencetus kepada kemenangan calon BN terbabit.

"Walaupun peratusan keluar mengundi agak menurun iaitu 80 peratus berbanding 87 peratus pada PRU-13. Namun begitu kita masih dapat meraih majoriti lebih besar dengan 2,592 undi.

“Lebih bermakna, kemenangan dicapai menerusi calon BN yang menang hampir di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) termasuk dua yang kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) iaitu Bukit Puteri dan Kampung Nangka. Jadi ini petanda sokongan BN kepada calon.” Kata Muhyiddin.

Tambah Muhyiddin, kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman pada Pilihan Raya kecil itu juga hadiah hari lahir paling bermakna buat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Tengku Zaihan menang dengan majoriti 2,592 undi mengalahkan calon PAS, Azlan Yusof. Pada PRU13, BN meraih majoriti sebanyak 2,434 bagi kerusi DUN Kuala Besut.