Sebanyak 12 badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dengan aktiviti ‘Soup Kitchen’ telah bersetuju untuk bekerjasama menangani masalah gelandangan dan pengemis di bandaraya Kuala Lumpur menerusi satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan.

Kementerian terbabit turut bersetuju untuk membenarkan NGO terbabit meneruskan aktiviti agihan makanan kepada golongan gelandangan di luar kawasan dua kilometer di ibu kota, namun boleh kurang dari lingkungan itu sekiranya mempunya premis yang sesuai.

NGO-NGO terbabit juga disarankan beroperasi seperti konsep Anjung Singgah, menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian terbabit hari ini.

GALERI FOTO: Gelandangan di belantara konkrit

Dalam pada itu, Kementerian turut membenarkan mereka meneruskan pemberian makanan di kawasan ibukota selepas Aidilfitri, iaitu sehingga tarikh penguatkuasaan baru pada 16 Ogos 2014 dan satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk memperincikan proses pengedaran makanan.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa satu sesi ‘town hall’ bersama golongan gelandangan dan pengemis akan diadakan dalam waktu terdekat bagi mendengar keluhan dan membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

“Mesyuarat turut memutuskan untuk bekerjasama rapat dengan semua NGO dan menjadikan mereka sebagai program partners bagi membantu golongan gelandangan,” kata kenyataan itu lagi.

Beberapa premis sedia ada yang digunakan turut akan dikenal pasti untuk dijadikan sebagai premis angkat berkonsepkan ‘Anjung Singgah’.

Isu gelandangan menjadi hangat sejak seminggu lalu ekoran kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor, yang mengumumkan hukuman ke atas pemberi dan peminta sedekah apabila undang-undang berkaitan kegiatan mengemis di ibu negara diperketat.