Skip to main content

Bisnes

SIDEC perluas sokongan kepada Startup dan PKS menerusi Triple Accelerator

Sumber: SIDEC
Pelancaran Triple Accelerator Programme 2026 mencerminkan komitmen berterusan Selangor dalam memperkasakan ekosistem inovasi, membantu lebih banyak startup berkembang ke peringkat global serta memastikan PKS tempatan tidak ketinggalan dalam gelombang transformasi digital dan kecerdasan buatan yang semakin pesat berkembang. - Foto SIDEC

KUALA LUMPUR: Selangor memperluaskan sokongan kepada syarikat pemula niaga (startup) dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi pelancaran Selangor Triple Accelerator Programme 2026 yang memperkenalkan tiga landasan pembangunan bagi membantu perniagaan berkembang, mendapatkan pelaburan dan menembusi pasaran antarabangsa.

Program anjuran Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (SIDEC) itu dilancarkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang di MRANTI Park, di sini, pada Khamis.

Selain memperkenalkan trek baharu Token-X yang memberi tumpuan kepada aset digital, blockchain dan ekonomi Web3, program itu turut meneruskan Deep-X bagi startup teknologi mendalam serta Retail-X yang membantu PKS mempercepatkan transformasi digital dan operasi omnisaluran.

Image
Sumber: SIDEC
Sejak 2015 SIDEC telah melaksanakan lebih 80 inisiatif yang memberi manfaat kepada lebih 70,000 usahawan teknologi, PKS dan startup serta menjana nilai dagangan kasar (GMV) melebihi RM732 juta. - Foto SIDEC

Ketua Pegawai Eksekutif SIDEC, Yong Kai Ping berkata, pembangunan keupayaan merupakan elemen paling penting dalam memastikan startup dan PKS mampu berkembang secara mampan.

“Di SIDEC, kami belajar bahawa cara paling berkesan untuk menyokong perniagaan bukanlah melalui insentif semata-mata, tetapi dengan membangunkan keupayaan mereka.

“Triple Accelerator dan program baharu Wira AI mencerminkan kepercayaan tersebut, manakala kerjasama yang semakin erat dengan MRANTI membantu inovator tempatan membawa penyelesaian sebenar ke pasaran,” katanya.

Menurut beliau, sejak 2015 SIDEC telah melaksanakan lebih 80 inisiatif yang memberi manfaat kepada lebih 70,000 usahawan teknologi, PKS dan startup serta menjana nilai dagangan kasar (GMV) melebihi RM732 juta.

Bagi Deep-X, sebanyak 1,129 permohonan diterima menerusi lapan kohort, dengan 270 startup berjaya dibangunkan dan memperoleh pembiayaan berjumlah RM204 juta. Sementara itu, Retail-X telah membantu 110 PKS menjana kira-kira RM180 juta nilai jualan sepanjang tiga kohort pelaksanaannya.

Majlis sama turut menyaksikan pelancaran Wira AI, sebuah program baharu yang diwujudkan bagi membantu PKS mengaplikasikan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian mereka.

Inisiatif itu dirangka bagi menangani cabaran yang sering dihadapi PKS termasuk kekurangan keupayaan pelaksanaan AI, penggunaan sistem digital yang tidak bersepadu serta kesukaran menterjemahkan teknologi tersebut kepada hasil perniagaan yang nyata.

Wira AI akan membantu syarikat melaksanakan penyelesaian AI praktikal, mengautomasi aliran kerja dan membina keupayaan AI yang boleh dikembangkan mengikut keperluan perniagaan.

Dalam pada itu, Chang berkata kerjasama antara SIDEC dan MRANTI hadir pada masa yang tepat bagi mengukuhkan laluan daripada inovasi kepada pengkomersialan.

“Kerjasama antara SIDEC dan MRANTI pada hari ini amat tepat pada masanya serta bersifat strategik.

“Dengan menghubungkan program di peringkat negeri kepada platform nasional seperti MRANTI Park dan National Technology and Innovation Sandbox (NTIS), kita sedang memperkukuh laluan daripada inovasi kepada pengkomersialan,” jelasnya.

Beliau berkata program berkenaan sejajar dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), khususnya dalam mempercepatkan pembangunan sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV).

Chang turut menyifatkan Triple Accelerator sebagai platform penting yang membuka peluang kepada usahawan dan inovator meneroka bidang berimpak tinggi seperti kecerdasan buatan, semikonduktor, teknologi mendalam, aset digital dan Web3.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Ashran Ghazi berkata organisasi itu terus mengamalkan pendekatan inovasi berteraskan misi yang menghimpunkan pemain industri, pelabur dan inovator (pencipta) bagi menyelesaikan cabaran dunia sebenar.

“Di MRANTI, kami semakin memberi tumpuan kepada pendekatan inovasi berteraskan misi yang menghimpunkan rakan ekosistem bagi meneroka peluang dan menangani cabaran yang penting untuk masa depan Malaysia.

Selangor Triple Accelerator Programme mencerminkan semangat tersebut dengan mewujudkan platform yang membolehkan inovator, perniagaan dan pelabur bekerjasama, berkembang serta menghasilkan impak yang bermakna,” ujarnya.

Beliau berkata MRANTI komited untuk terus bekerjasama dengan SIDEC, pelabur dan rakan ekosistem dalam mewujudkan laluan yang lebih kukuh bagi membantu startup belajar, membina jaringan, berkembang dan mencipta impak ekonomi yang nyata.

Image
Sumber: SIDEC
Program juga meneruskan Deep-X bagi startup teknologi mendalam serta Retail-X yang membantu PKS mempercepatkan transformasi digital dan operasi omnisaluran. - Foto SIDEC

Majlis pelancaran itu turut menyaksikan pengumuman Selangor AI and Semiconductor Summit (AiSEM) yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 14 hingga 17 Oktober depan.

Sidang kemuncak tersebut dijangka menghimpunkan pemain industri, pelabur, startup, pembuat dasar dan bakat teknologi dari dalam serta luar negara, sekali gus memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab utama pembangunan AI dan semikonduktor di rantau ini.

Melalui platform World Stage Venture pula, peserta program berpeluang meneroka pasaran antarabangsa termasuk Korea Selatan, Singapura dan Shanghai, selain menjalinkan kerjasama dengan syarikat teknologi global seperti ByteDance, Xiaohongshu dan Google Cloud.

Program Triple Accelerator 2026 turut mendapat sokongan pelbagai rakan strategik termasuk Affin, MRANTI, Plug and Play APAC, Endeavor, Microsoft, Alibaba Cloud, AEON, EasyStore serta lebih 30 pemain ekosistem, firma modal teroka, institusi kewangan dan agensi pembangunan industri.

Pelancaran Triple Accelerator Programme 2026 mencerminkan komitmen berterusan Selangor dalam memperkasakan ekosistem inovasi, membantu lebih banyak startup berkembang ke peringkat global serta memastikan PKS tempatan tidak ketinggalan dalam gelombang transformasi digital dan kecerdasan buatan yang semakin pesat berkembang.

Must Watch Video

Advertisement