Kementerian Pendidikan sedang mengkaji secara terperinci pelaksanaan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) selaras dengan sistem pendidikan baharu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan masih menerima pandangan badan penasihat kerana ramai yang berkehendakkan mata pelajaran itu diajar dalam Bahasa Inggeris.

“Kementerian sedang mengkaji secara terperinci, pelaksanaan semula dasar PPSMI dengan menyediakan sistem baharu yang menggunakan pengajian menggunakan IT (teknologi maklumat).

Menurut Dr Mahathir, sistem baharu itu adalah pengajaran yang dirakam guru terbaik dan digunakan di semua sekolah.

"Ia adalah pengajaran yang direkod oleh guru yang terbaik, yang akan diguna di semua sekolah, supaya kecekapan guru yang terbaik dapat dinikmati oleh semua murid dan penuntut,” kata Dr Mahathir.

Beliau menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan turut mengambil kira kepentingan penguasaan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris kerana ia merupakan bahasa antarabangsa dan penting untuk pengurusan dan perusahaan selain peluang pekerjaaan.

Dr Mahathir berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Tuan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil di Dewan Rakyat, hari ini.