Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menambah enam lagi item di bawah senarai Skim Harga Maksimum Musim Perayaan untuk sambutan Aidilfitri, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 27 item, kata menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Dalam satu sidang media hari ini, beliau berkata, kementerian turut menetapkan tarikh kawalan harga untuk perayaan itu bermula 21 Mei hingga 19 Jun ini.

Menurut Saifuddin, langkah itu diambil bagi memastikan harga barangan stabil di samping menyekat kenaikan barangan keperluan sepanjang musim perayaan yang bakal menjelang.

“Kenapa kawalan harga ini dibuat, tujuan utamanya bagi melindungi kepentingan pengguna. Dengan adanya kawalan harga atau penetapan harga siling, pengedar, pemborong akan memberikan penjelasna, kepastian, paras harga bagi item tertentu.

“Bila dibuat, adalah menjadi harapan kami, peniaga akan dapat beri kerjasama dan patuh dengan cara itu barulah tujuan sebenar kawalan harga akan tercapai,” katanya lagi.

Antara barangan yang disenaraikan ialah:

* Ayam hidup; ayam standard; ayam super

* Telur ayam gred A, B dan C

* Saging lembu tempatan; daging lembu import

* Cili kering; tomato; kacang panjang; kacang tanah; kelapa biji; kelapa parut; serta beberapa jenis bawang.

Dalam sidang media sama, beliau turut mengumumkan tarikh penguatkuasaan bagi skim itu untuk Pesta Hari Kaamatan (23 Mei hingga 5 Jun) dan Pesta Hari Gawai (25 Mei hingga 7 Jun).

Menerangkan lebih lanjut, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu berkata, kerajaan memilih 27 daripada ribuan item pengguna berdasarkan beberapa faktor termasuk corak peningkatan penggunaannya sewaktu musim perayaan.

“Item yang kita pilih mestilah ada kaitan dengan harganya, mestilah stabil. Kita tidak mahu berlaku fluctuation atau turun naik ketara. Jadi sudah tentu kunci kepada kejayaan kawalan harga ini sangat dipengaruhi aspek bekalan.

“Senarai barangan yang kami tambah misalnya termasuklah cili kering. Tahun lepas kita tak kawal, tahun ini kita tambah sebab banyak menu musim perayaan banyak pakai cili kering,” katanya lagi.

Bagi pengguna yang ingin melihat senarai barang kawalan di bawah skim itu boleh melawati https://www.kpdnhep.gov.my/barang-barang-kawalan-musim-perayaan/.