Kementerian Kesihatan akan mewujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk kakitangannya ketika menjalankan tugas di kawasan berisiko tinggi seperti insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu baru-baru ini.

Menterinya Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata dengan adanya SOP itu, kakitangan kementerian akan diberi latihan sewajarnya bagi memastikan keselamatan mereka.

"Kita kena memberi latihan kepada pekerja-pekerja kita bagaimana menjalankan tugas dalam keadaan yang lain daripada biasa (seperti dalam insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu)," katanya.

Subramaniam berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penghargaan warga Kementerian Kesihatan yang terlibat dalam Operasi Daulat di Lahad Datu di sini hari ini. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Faridah Mohd Ali dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Pada majlis itu, kira-kira 600 anggota pasukan perubatan daripada pelbagai bahagian menerima Sijil Penghargaan dan plak. Mereka adalah sebahagian daripada 2,372 anggota pasukan perubatan yang bertugas secara bergilir sepanjang insiden pencerobohan pengganas itu.

Terdahulu dalam ucapannya Subramaniam berkata kementerian sentiasa mengiktiraf peranan pasukan perubatan dalam memberi bantuan kepada anggota keselamatan yang tercedera semasa menjalankan tugas mempertahankan kedaulatan negara.