KUALA LANGAT : Kementerian Kewangan buat pertama kali akan membentangkan Penyata Pra-Belanjawan dalam masa terdekat sebagai persiapan menjelang pengumuman Belanjawan 2022.

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, belanjawan menjadi salah satu fokus utama kementerian tersebut dalam tempoh 100 hari akan datang.

Justeru, Tengku Zafrul yang bakal mengemudi semula kementerian tersebut di bawah kerajaan baharu menambah, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan semua pemegang taruh yang berkepentingan bagi membincangkan mengenai Belanjawan 2022.

“Saya akan mengumumkan dalam masa terdekat. Ini kali pertama di mana Kementerian Kewangan akan mengumumkan kenyataan pra-belanjawan, di mana kita akan menjemput secara rasmi semua pihak untuk memberi input masing-masing dan di sini kita merangkakan beberapa kriteria salah satunya ialah kebajikan.

“Insya-Allah selepas saya memulakan kerja esok (Isnin), dalam minggu ini kalau boleh kita terus berjumpa dengan semua pihak berkepentingan termasuk Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan,” katanya kepada pemberita, di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas mengagihkan kotak bantuan kepada pengukir kraftangan di Perkampungan Budaya Mah Meri di Pulau Carey, di sini pada Ahad.

Selain aspek kesejahteraan rakyat, Tengku Zafrul yang sebelum ini turut memegang jawatan sebagai Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkata, Belanjawan 2022 akan turut memfokuskan kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi negara.

“Belanjawan 2022 juga akan terus disediakan sasaran pada akhir bulan Oktober ini.

“Ini sebenarnya belanjawan yang sangat penting dan ia bukan sahaja dari segi bantuan tetapi dari segi panduan kepada ekonomi kita untuk kembali pulih semula,” tambah beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata selaras dengan konsep Keluarga Malaysia, kementerian tersebut menyambut baik pencapaian 100 hari yang ditetapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Pendekatan KPI ini bagus, kerana ia membolehkan semua kementerian terutamanya Kementerian Kewangan dan juga rakyat mengukur pencapaian kerajaan supaya kita boleh mengenal pasti kekuatan dan sebarang kelemahan yang perlu penambahbaikan.

"Kementerian Kewangan sebelum ini mengumumkan progres setiap minggu melalui LAKSANA kerana kita mahu menjadi lebih telus dalam proses pemantauan kita," ujar beliau.

Perdana Menteri ketika mengumumkan barisan Kabinet baharu pada Jumaat menetapkan setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama.

Ismail Sabri berkata, barisan Kabinet dan kementerian perlu dipastikan berupaya menggalas tanggungjawab diamanahkan dengan komited dan lebih proaktif.