NATIONAL
Kementerian Komunikasi umum Insentif Rebat RAHMAH pada hari pertama Aidilfitri

Fahmi berharap insentif ini dapat mengeratkan silaturahim melalui komunikasi dalam talian dan memeriahkan sambutan Hari Raya. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi mengumumkan pemberian Insentif Rebat RAHMAH sempena hari pertama Hari Raya Aidilfitri kali ini.
Ringkasan AI
- Kerajaan MADANI mengumumkan Insentif Rebat RAHMAH berupa tambahan kuota data 5GB kepada semua pengguna telekomunikasi Malaysia pada Hari Raya Aidilfitri pertama.
- Insentif ini ditanggung oleh syarikat telekomunikasi seperti Celcom, Digi, Maxis, UMobile, dan lain-lain, sah untuk tempoh 24 jam.
- Fahmi Fadzil berharap insentif ini dapat mengeratkan silaturahim melalui komunikasi dalam talian dan memeriahkan sambutan Hari Raya.
“Sukacita saya umumkan bahawa Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Komunikasi dengan kerjasama strategik syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi akan melaksanakan pemberian Insentif Rebat RAHMAH berbentuk tambahan kuota data minimum 5GB kepada semua pengguna perkhidmatan telekomunikasi warga negara Malaysia sama ada prabayar mahupun pascabayar pada Hari Raya Aidilfitri pertama," katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.
Tambahan kuota dan data ini sah untuk tempoh minimum 24 jam, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan. Telekomunikasi yang terlibat, iaitu Celcom, Digi, Maxis, UMobile, TM Tech, YTL Communications, Harvocoms, Tune Talk, Red One, Red Tone, dan XOXcom.
Fahmi Fadzil turut berharap pemberian Insentif Rebat RAHMAH sempena Hari Raya Aidilfitri ini dapat membantu mengeratkan silaturahim, terutama melalui komunikasi dalam talian, di samping memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Fahmi berkata Insentif Rebat RAHMAH itu ditanggung sepenuhnya oleh semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi terbabit dan jumlah akaun telekomunikasi yang berdaftar di Malaysia ialah sekitar 45 juta.
Maklumat lanjut mengenai insentif ini akan diumumkan oleh syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi, dan soalan lazim (FAQ) boleh dirujuk di laman sesawang Kementerian Komunikasi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami