Kementerian Pendidikan akan memberi perlindungan dan perhatian sepenuhnya kepada guru yang diambil tindakan mahkamah oleh ibu bapa.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata ini bagi memberi perlindungan dan pembelaan sewajarnya kepada guru terbabit dari tindakan undang-undang ketika melakukan tugas.

Justeru itu sebarang isu dan perbalahan membabitkan guru dan pelajar perlu dilaporkan segera kepada pihak kementerian untuk diambil tindakan khususnya bantuan dan nasihat perundangan.

"Pertama, boleh selesai secara rundingan dalaman dan kedua, mungkin boleh diselesaikan melibatkan kepimpinan seperti Pengarah Pendidikan Negeri dan Pegawai Pendidikan Daerah.

"Tapi kita berharap masyarakat tak samanlah cikgu walaupun ada beberapa kes terpencil (yang berlaku)," katanya selepas menghadiri Program Guru Bersama Masyarakat: Guru Pembina Negara Bangsa di Sekolah Kebangsaan Machang 2, di sini hari ini.

Tambahnya, walaupun setiap kakitangan awam akan mendapat bantuan dari Jabatan Peguam negara sekiranya menghadapi tindakan undang-undang ketika bertugas, kementeriannya mengambil langkah proaktif dengan memberi perhatian bagi menyelesaikan sebarang kes dengan cepat.

Katanya jika sebarang perbalahan tidak boleh diselesaikan melalui rundingan dalaman dan melalui campur tangan Jabatan Pendidikan sebaliknya dikenakan tindakan mahkamah, bantuan guaman akan diberikan.

"(Undang-undang) dah ada, cuma apa saya nak sebut, kami (kementerian akan lebih) proaktif (jika guru disaman). Tak naklah kalau guru itu kena (saman) dia (tanggung) seorang diri, bukan macam tu," katanya.

Mahdzir, bagaimanapun berharap tindakan undang-undang terhadap guru merupakan langkah terakhir yang akan diambil ibu bapa kerana kementerian mempunyai beberapa cara untuk mengatasi sebarang masalah yang mungkin berlaku antara pendidik dan pelajar.