Kementerian Pengangkutan masih belum mempunyai sebarang keputusan berhubung pertimbangan menaikkan kadar tambang bas ekspres antara 10 hingga 30 peratus.

Timbalan Menterinya, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, pihak kementerian pada dasarnya bersimpati dengan syarikat bas yang menanggung kos operasi dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam kepada pelanggan.

"Kementerian memang ambil maklum berhubung masalah yang ditanggung pengusaha bas yang terpaksa menanggung kos lebih tinggi dari semasa ke semasa.

"Bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang keputusan bagi menentukan perkara itu," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail dan Pengarah Urusan Scania Asia Tenggara, Marie Sjodin Enstrom di sini, pada Jumaat.

"Sebelum ini kita ada mempertimbangkan untuk menaikkan kadar 10 hingga 30 peratus namun usah khuatir jika naik pun (mungkin) secara minimum," katanya.

November lepas Kamarudin dipetik sebagai berkata, semakan mendapati kenaikan kadar tambang terakhir adalah pada 2009 iaitu sebanyak 31 peratus dan kementeriannya menimbangkan kenaikan munasabah bagi membantu pengusaha bas ekspres tanpa membebankan pengguna.

Dalam pada itu, Che Ibrahim berkata E-Mutiara menerusi persefahaman itu turut membeli 19 buah bas baharu jenama Scania bernilai kira-kira RM20 juta untuk kegunaan bermula Januari tahun hadapan.

Katanya semua bas dari Sweden itu dilengkapi teknologi terkini dengan penjimatan bahan bakar sebanyak lima peratus selain mempunyai ciri kurang pengeluaran karbon.

-- BERNAMA