MELAKA: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan memperhebat kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk syarikat swasta bagi memperluas penyertaan penganjuran "Program Bermalam di Muzium" di seluruh negara pada masa hadapan.

Ketua Setiausaha KPN Datuk Noridah Abdul Rahman berkata program yang mula dilaksanakan pada 2005 di Muzium Negara dan menjadi satu daripada program signature atau pengenalan bagi Jabatan Muzium Malaysia kini mendapat penyertaan yang tinggi dalam kalangan pelajar sekolah menengah setiap kali penganjurannya.

"Menerusi program ini, kita bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan setiap tahun, kita menerima permintaan yang tinggi dalam kalangan pelajar sekolah menengah untuk mengikuti 'Program Bermalam di Muzium', namun terdapat beberapa kekangan untuk menerima penyertaan yang banyak.

"Program ini telah terhenti selama tiga tahun dan pada tahun ini, kita menerima penyertaan sebanyak 1,551 pelajar sekolah menengah di seluruh negara dan dianjurkan secara serentak di 25 muzium terdiri daripada muzium persekutuan, muzium negeri dan muzium institusi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Bermalam di Muzium, di Muzium Hang Tuah di sini semalam.

Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan Melaka Datuk Zaidi Attan dan Ketua Pengarah Muzium Malaysia Datuk Kamarul Baharin A. Kasim.

Mengulas lanjut, Noridah berkata daripada jumlah penyertaan berkenaan, sebanyak 751 orang ialah pelajar lelaki manakala 800 pelajar perempuan dengan 1,383 pelajar kaum Melayu, Cina (56 orang), India (70 orang) dan lain-lain bangsa (42 orang).

Beliau berkata di Melaka sendiri, sebanyak 203 pelajar sekolah dari tujuh sekolah menengah di negeri itu menyertai program berkenaan yang memerlukan mereka bermalam di Muzium Hang Tuah.

Katanya, objektif penganjuran program itu adalah untuk menyuburkan semangat cinta pada tanah air selain memupuk apresiasi yang tinggi dalam kalangan generasi muda terhadap warisan sejarah, seni dan budaya negara menerusi aktiviti permuziuman, selain menggalakkan generasi ini mengunjungi muzium.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Jabatan Muzium Malaysia akan menggunakan kaedah secara maya bagi mendekati rakyat khususnya generasi muda terhadap sumber sejarah dan warisan negara yang terdapat di muzium seluruh negara.

"Usaha ini dilihat satu pendekatan yang baik untuk memposisikan atau 'merakyatkan' muzium dalam kalangan rakyat di negara ini agar mesej atau input berkaitan sejarah dapat disampaikan kepada generasi secara lebih meluas.

"Selain itu, orang yang tinggal jauh dan tidak dapat hadir secara fizikal ke muzium dapat melihat secara dekat pelbagai sumber sejarah dan artifak yang disimpan di muzium," katanya.

-- BERNAMA