Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata kementeriannya akan meneliti pelbagai isu yang membelenggu pemain industri di Labuan.

Khalid berkata isu di bawah bidang kuasa kementerian itu akan diselesaikan secara berperingkat demi kepentingan pembangunan ekonomi Labuan.

Bagaimanapun, katanya, isu yang bukan di bawah bidang kuasa kementeriannya akan di kemukakan ke kementerian yang berkenaan untuk mendapatkan penyelesaian sewajarnya.

"Kami faham situasi ekonomi di Labuan, kementerian tidak pernah meminggirkan Labuan dari segi ekonomi kerana pulau itu juga merupakan salah satu Wilayah Persekutuan, dan kami anggap Labuan sama seperti Putrajaya dari segi dana dan pelan projek pembangunan di masa hadapan," katanya pada mesyuarat khas dengan gabungan dewan perniagaan Labuan, pada Ahad.

Isu yang dibangkitkan termasuklah larangan pemindahan beras, di mana Dewan Perniagaan Melayu Labuan (DUML) berkata ia telah menyebabkan pengendalian kontena dan kargo di pelabuhan Labuan berkurangan, menyebabkan pengangguran dan kehilangan perniagaan.

"Seperti yang kita faham, pemindahan itu telah ditarik balik dan aktiviti itu kini mesti menerusi kastam, namun kita akan periksa kembali dengan Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk maklumat terperinci," katanya.

Selain itu, perlantikan Anggota Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin (DAP) sebagai pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) juga dipersoalkan oleh dewan perniagaan Labuan, dikatakan perlantikannya tidak seiring dengan aspirasi kerajaan yang mahu pelabuhan dikendalikan dengan lebih profesional.

Presiden DUML Datuk Seri Mohd Alias Abdul Rahman juga membangkitkan isu keperluan untuk melantik ahli lembaga LPA daripada kalangan ketua perniagaan tempatan profesional berbanding lantikan secara politik, dalam usaha meningkatkan ekonomi di pulau berkenaan.

Mengenai isu lain, anggota Dewan Perniagaan Cina Labuan Chia Sia Theng berkata, kerenah birokrasi Indah Water Consortium (IWK) dalam menangani sistem kumbahan dalam projek-projek tertentu di sini telah menyebabkan kelewatan, dengan premis yang tidak didiami.

Khalid memberi jaminan bahawa isu itu akan dikemukakan kepada IWK untuk dipertimbangkan supaya tidak menghalang aktiviti ekonomi di pulau tersebut.

Sementara itu, pengerusi Majlis Perniagaan BIMP-EAGA Labuan Azhar Othman berkata, sebagai pusat kewangan antarabangsa dan ke arah menuju bandar pintar pada 2030, Labuan memerlukan sambungan internet berkelajuan tinggi tanpa gangguan.

"Saya akan mengarahkan pengerusi Perbadanan Labuan untuk meneliti isu ini dengan segera dan berurusan dengan agensi bertanggungjawab," kata Khalid.

Azhar juga menggesa kementerian meneliti promosi pelancongan pelayaran untuk Labuan, di mana Khalid menyatakan sokongan kementeriannya dan berkata kemudahan sedia ada perlu di naik taraf.