KANGAR: Semangat patriotisme perlu wujud dalam kalangan rakyat Malaysia bagi memastikan bahawa negara ini terus kekal merdeka dan nikmat kemerdekaan pasti terancam sekiranya berlaku perpecahan, kata Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata semua pihak perlu ingat dan menghayati nikmat kemerdekaan yang dikecapi hari ini hasil pengorbanan pemimpin terdahulu, yang ia boleh hilang sekelip mata tanpa perpaduan.

Sehubungan itu beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus menyemai semangat patriotisme bagi memastikan agar rakyat hidup dalam suasana harmoni, dan negara terus bergerak maju ke hadapan.

"Rakyat perlu terus kekal bersatu dan jangan berlaku perpecahan kerana ia hanya merugikan negara," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Azlan berkata sambutan Hari Kebangsaan tahun ini akan diadakan secara maya, namun beliau berharap semangat kemerdekaan tidak akan luntur walaupun dengan ketiadaan perhimpunan atau sambutan besar-besaran akibat pandemik COVID-19.

"Saya harap seluruh rakyat turut sama mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman dan premis perniagan masing-masing," katanya.

-- BERNAMA