KEPALA BATAS: Bagaikan tradisi, berbuka puasa secara terbuka dan santai di dataran Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas di sini, kini menjadi pilihan sebahagian penduduk di sekitar daerah itu.

Suasana meriah cukup dirasai apabila pengunjung membentang tikar dan duduk bersila untuk menikmati juadah berbuka puasa bersama keluarga dan rakan di taman masjid tersebut.

Pengunjung yang ditemui berkata, mereka memilih untuk berbuka puasa beramai-ramai di dataran masjid kerana mahu merasai kelainan tidak seperti lazimnya iaitu berbuka puasa di rumah, masjid, surau mahupun di kedai makan.

Selain menikmati pemandangan indah masjid, alunan lagu-lagu nasyid, ayat-ayat suci al-Quran serta tazkirah yang disampaikan menjadi halwa telinga buat pengunjung sementara menunggu waktu berbuka puasa.

“Alhamdulillah suasana nampak ceria dan seronok sebab kawasan terbuka dan berbuka ramai-ramai macam ini. Selalu berbuka di rumah sahaja, hari ini nak ubah suasana berbuka kat sini, ada tazkirah, ada nasyid ada kelainan sikit,” kata pengurus kilang, Afif Akmal berkongsi keseronokan berbuka puasa di dataran Masjid Abdullah Fahim

JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK

Bagi Asma Ahmad yang juga seorang surirumah, peluang berbuka puasa di ruang terbuka amat menyeronokkan kerana semua lapisan usia dapat berhimpun bersama iaitu aktiviti yang jarang dilakukan.

“(Suasana) lebih santai dan sesuai untuk semua golongan, kanak-kanak dan dewasa, seronok berbuka di kawasan terbuka macam inI… macam satu keluarga, di masjid pula silaturrahim boleh kita eratkan lagi,” kata Asma.

Kepada seorang pekerja swasta, Mohd Isa Yaakob pula, keseronokan berbuka puasa di dataran masjid itu ialah sejurus selepas makan, dia serta keluarga berpeluang untuk terus melaksanakan sunat Maghrib, Isyak dan Tarawih.

Sementara itu, menurut Imam Utama Masjid Abdullah Fahim, Mohd. Lukmanul Hakim Mokhtar, pihak masjid memperuntukkan RM207,000 untuk program Ihya Ramadan sepanjang bulan puasa pada tahun ini.

Katanya, sejak hari pertama Ramadan, program Santai Iftar Bebas COVID-19 yang masuk tahun kedua di Masjid Abdullah Fahim mendapat sambutan bukan sahaja daripada pengunjung setempat bahkan, ada yang datang dari Sungai Petani dan Padang Serai, Kedah.

Bagi meraikan dan memeriahkan suasana pihak masjid turut menyediakan juadah berbuka puasa untuk 700 hingga 900 orang dengan menu berbeza kepada pengunjung setiap hari.

Beberapa program bagi mengimarahkan bulan Ramadan turut dianjurkan antaranya tadarus al-quran, kehadiran selebriti dakwah setiap Ahad, kuliah Zohor, bantuan Aidilfitri, iktikaf dan lain-lain.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak masjid juga sentiasa memastikan setiap pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka bagi mencegah penularan COVID-19.