KUALA LUMPUR: Bagi memperkukuhkan visi Kementerian Kerja Raya sebagai peneraju pembangunan infrastruktur negara, satu kempen Kita Jaga Jalan Kita telah dilancarkan pada Selasa.

Majlis pelancaran kempen tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Sri Fadillah Yusof, secara maya menerusi platform Facebook.

Dalam ucapan perasmiannya, Fadillah berkata Kementerian Kerja Raya sentiasa komited dalam memastikan pembangunan infrastruktur dilaksanakan dengan cekap, berkualiti dan lestari.

"Sepanjang tahun 2020 dan sehingga Ogos 2021, Kementerian Kerja Raya telah memperuntukkan sebanyak RM2.77 bilion untuk kerja-kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan di seluruh Malaysia iaitu untuk Semenanjung RM2.2 bilion, manakala untuk Sabah RM296 juta; Sarawak RM220 juta dan bagi Wilayah Persekutuan Labuan RM48 juta.

"Peruntukan tersebut termasuklah untuk kerja-kerja penyenggaraan rutin, kerja berkala pavemen, kerja bukan berkala pavemen dan sebagainya.

"Walaupun negara masih lagi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara, kerja-kerja penyenggaraan Jalan Raya Persekutuan dan Jalan Raya Negeri sentiasa dilaksanakan demi keselamatan pengguna jalan raya," katanya.

 Kementerian Kerja Raya amat serius dalam memastikan jalan raya berada dalam keadaan baik.

Tambah beliau, kempen Kita Jaga Jalan Kita akan membawa semua lapisan masyarakat supaya lebih prihatin dan bertanggungjawab terhadap penjagaan jalan raya yang digunakan bersama.

"Objektif kempen ini adalah menyeluruh kepada semua infra berkenaan, dengan harapan kita semua Keluarga Malaysia bersama-sama menjaga jalan kita dan memupuk perasaan sayangkan jalan yang kita gunakan setiap hari.

"Ini kerana tanggungjawab untuk menjaga infrastruktur awam negara bukan hanya terletak di bawah kementerian atau agensi Kerajaan semata-mata, tetapi ia merupakan tanggungjawab bersama demi kesejahteraan semua.

"Jalan raya merupakan aset awam yang amat penting kepada sesebuah negara. Infrastruktur jalan raya ini juga berperanan sebagai penghubung antara dua tempat, mendekatkan yang jauh dan juga membantu dalam merancakkan ekonomi negara melalui jaringan jalan raya yang baik," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Kementerian Kerja Raya amat serius dalam memastikan jalan raya berada dalam keadaan baik. Ini termasuklah menangani isu jalan berlubang atau potholes, dengan pelaksanaan pelan tindakan baharu yang telah diperkenalkan dalam Pelan Strategik Organisasi Kementerian Kerja Raya Tahun 2021 - 2025.

Namun dalam masa yang sama, kerajaan memerlukan kerjasama orang ramai dalam membantu memastikan segala infrastruktur awam yang disediakan dipelihara dan dijaga dengan baik.

“Saya ingin mengajak orang awam untuk menyalurkan aduan melalui saluran aduan rasmi utama, iaitu Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KKR dan SISPAA JKR," ujarnya lagi.

Kementerian katanya, amat berharap masyarakat akan lebih peka dan mengambil cakna peranan masing-masing dalam menjaga aset awam negara, demi keselamatan dan kepentingan bersama.