Skip to main content

Malaysia

Dua pekerja parah, lif terhempas di hotel Melaka

lif runtuh, Melaka - JBPM
Mangsa diselamatkan dan diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke hospital. - Gambar/ JBPM

MELAKA: Dua pekerja warga India parah dalam insiden lif terhempas dari tingkat tujuh di sebuah hotel di Jalan Syed Abdul Aziz, di sini, pada Rabu.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.55 pagi itu melibatkan dua lelaki berusia 27 tahun yang berada di dalam ruang lif berkenaan ketika kerja-kerja pembaikan dijalankan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum menggerakkan sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah ke lokasi kejadian.

Menurut beliau, pasukan yang tiba kira-kira lima minit kemudian mendapati kedua-dua mangsa masih terperangkap selepas lif berkenaan dipercayai jatuh dari tingkat tujuh.

“Operasi menyelamat segera dijalankan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum kedua-duanya berjaya dibawa keluar dari runtuhan lif tersebut.

“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi itu turut melibatkan tiga petugas KKM serta dua anggota polis.

Operasi kemudian berjaya dikawal pada jam 1 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya dua minit kemudian.

 

Must Watch Video

Advertisement