ALOR GAJAH: Kerajaan negeri Melaka mampu menarik 6.2 juta pelancong menerusi pakej pelancongan yang ditawarkan dalam 'Melakan Visit Melaka Packages 3.0' yang dilancarkan hari ini.

Exco Pelancongan Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata hingga 31 Dis tahun lepas, sebanyak 58,465 pakej telah terjual menerusi kempen versi 2.0 dengan jumlah pendapatan RM459,948.

"Kempen fasa pertama yang diperkenalkan pada 8 Nov tahun lepas adalah langkah proaktif kerajaan negeri bersama Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) bagi memulihkan pelancongan serta menggalakkan rakyat Melaka bercuti dalam negeri sendiri.

"Berbanding sebelum ini, kempen 3.0 akan melibatkan 24 lokasi pelancongan di Melaka dan berkuat kuasa selama sepuluh bulan iaitu hingga 31 Dis," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen itu di Freeport A' famosa di sini.

Sementara itu, Muhammad Jailani berkata kerajaan negeri akan memohon kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya syarat melancong dilonggarkan dengan membenarkan pengunjung menggunakan kenderaan persendirian.

Katanya, ia mengambil kira kekangan yang dihadapi mereka terutama para pengunjung yang mempunyai keluarga untuk bergerak melawat tempat-tempat pelancongan di samping membantu mengurangkan kos ditanggung mereka untuk melancong.

"Yang penting kita akan pastikan pemain industri serta pengunjung dapat mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ketat supaya sektor ini kembali pulih," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri memberi jaminan tiada sebarang kenaikan cukai warisan RM2 dikenakan kepada pengunjung pada tahun ini bagi mengalakkan kedatangan pelancong ke Melaka.

-- BERNAMA