Pemohon boleh membuat rayuan bagi pertimbangan semula Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dengan mengemukakan dokumen sokongan yang membuktikan kehilangan pekerjaan atau pengurangan pendapatan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Seri Dr Sabin Samitah.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata kerajaan menerima aduan antara permohonan BPN yang ditolak adalah daripada pemohon yang telah kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan yang ketara baru-baru ini.

Beliau berkata rayuan boleh dibuat melalui e-mel kepada LHDN ([email protected]) atau hadir di mana-mana pejabat LHDN.

Bagi permohonan yang ditolak atas alasan lain termasuk pemohon/pasangan mempunyai syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), mereka boleh membuat rayuan dengan mengemukakan dokumen sokongan yang menunjukkan jumlah pendapatan terkini, katanya.

Sabin berkata tempoh permohonan rayuan bagi BPN dilanjutkan sehingga 31 Mei manakala pejabat LHDN akan dibuka bermula 11 Mei atau 12 Mei berdasarkan hari bekerja di setiap negeri bagi menerima rayuan tersebut.

"Rayuan akan diberi pertimbangan yang sewajarnya bagi memastikan mereka yang menepati syarat BPN akan menerima bantuan tersebut," katanya.

Sabin menjelaskan antara sebab utama permohonan ditolak adalah kerana pemohon mempunyai pendapatan yang melebihi syarat BPN manakala sebab lain, antaranya, kerana tidak mematuhi syarat tertentu seperti kelayakan umur serta status pelajar sepenuh masa.

"Contohnya, terdapat 240,465 permohonan diterima daripada pelajar sepenuh masa sedangkan mereka tidak layak mendapat BPN kerana telah layak mendapat RM200 menerusi bantuan pelajar institusi pengajian tinggi secara sekali beri," katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan BPN dengan melayari portal rasmi LHDNM di https://bpn.hasil.gov.my.

-- BERNAMA