KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah berhati-hati bagi dalam membuat sebarang keputusan berkait Kadar Dasar Semalaman (OPR) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan datang.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata perbincangan mengenai keputusan kadar terletak pada kesan kenaikan kumulatif OPR yang lalu.

Tambahnya, bank pusat itu kekal dalam melaksanakan pengimbangan teliti yang akhirnya mahu mencapai kestabilan dalam harga dan pertumbuhan ekonomi.

“Keadaan ketika ini tidak menentu, persekitaran sentiasa berubah sehingga ke tahap yang memberi kesan kepada pandangan dan dasar monetari kami.

“Saya tidak mahu mendahului mesyuarat MPC kami.

“Adalah penting bagi kita untuk tidak melakukan kenaikan terlalu cepat atau lambat.

“Oleh itu, kami akan terus menilai keadaan semasa dan bertindak balas terhadap sebarang perubahan,” kata beliau pada pelancaran Laporan Tahunan 2022 BNM, Kajian Ekonomi dan Monetari 2022 serta Kajian Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2022 pada Rabu.

Ditanya sama ada kadar inflasi Malaysia akan turun kepada paras terendah dalam sejarah iaitu 2.2 peratus, Shamsiah berkata kadar inflasi yang tinggi tidak eksklusif kepada Malaysia sahaja, tetapi di seluruh dunia.

“Kami tidak menetapkan sebarang hala tuju (naik turun OPR).

“Ini amat penting memandangkan persekitaran yang pesat berkembang, jadi kita perlu menyesuaikan diri dengan sewajarnya.

“Adalah sangat penting bagi MPC untuk terus tangkas dan mengukur dasar monetari supaya kita dapat mencapai pertumbuhan dan kestabilan harga ” tambahnya.

Kedua-dua inflasi utama dan teras diunjurkan kepada purata antara 2.8 dan 3.8 peratus pada 2023.