KUALA LUMPUR: Tindakan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) menaikkan kadar yuran dan kekerapan pemeriksaan perubatan pekerja asing dijangka menimbulkan cabaran baharu bagi majikan yang kini bertanggungjawab untuk menanggung kos pemeriksaan tahunan.

Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Datuk Abdul Malik Abdullah berkata, salah satu cabaran ketara yang dihadapi majikan ialah kehilangan kelayakan pekerja yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes dan hipertensi.

"Walaupun inisiatif untuk menangani kesihatan pekerja asing patut dipuji, kebimbangan telah dibangkitkan tentang kemungkinan diskriminasi.

"Di Malaysia, pekerja tempatan yang disahkan menghidap NCD masih dibenarkan bekerja, tetapi amalan semasa melabelkan pekerja asing sebagai tidak layak untuk bekerja secara perubatan berdasarkan syarat ini.

"Ini menimbulkan persoalan tentang kesaksamaan dan keadilan, kerana melayan pekerja asing secara berbeza berbanding rakan sejawat tempatan mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Abdul Malik berkata, majikan terutamanya mereka yang terbiasa dengan jadual pemeriksaan sebelum ini, melahirkan kebimbangan tentang implikasi kewangan pemeriksaan perubatan tahunan.

"Beban tambahan kos ini mungkin memberi kesan kepada amalan pengambilan dan pekerjaan pekerja asing merentasi pelbagai industri," tambah beliau.

FMBA katanya, mengakui kepentingan memastikan kesihatan dan kesejahteraan pekerja asing tetapi ia memerlukan penelitian menyeluruh terhadap implikasi peraturan FOMEMA baharu.

Media sebelum ini melaporkan, FOMEMA menetapkan tiga syarat baharu bagi saringan kesihatan pekerja asing di negara ini, termasuk menjalani ujian pengesanan dadah.

Syarat terbabit berkuat kuasa 16 Disember tahun lalu ke atas semua pekerja asing termasuk yang baharu tiba serta mereka yang mahu memperbaharui prosedur proses pekerjaan.

Berdasarkan kenyataan disiarkan menerusi Facebook rasminya, FOMEMA memaklumkan, tiga ujian saringan kesihatan baharu itu ialah ujian Filariasis, Hepatitis C dan ujian pengesanan dadah Methamphetamine.

Sebelum pengumuman kenaikan, yuran pemeriksaan perubatan untuk pekerja asing, caj oleh FOMEMA ialah RM190 untuk lelaki dan RM207 untuk pekerja asing wanita yang meliputi saringan HIV, Hepatitis B, sifilis dan kehamilan, termasuk penggunaan opiat dan kanabis.