KUALA SELANGOR: Kerajaan negeri Selangor digesa meneliti semula pengecualian cukai taksiran tidak secara automatik kepada pemilik rumah di kampung baru, kampung Melayu dan kampung nelayan yang disifatkan berat sebelah dan tidak adil.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, kerajaan negeri seharusnya meneruskan dasar sedia ada sama seperti pengecualian cukai taksiran bagi rumah kos rendah yang kebanyakannya berada di kawasan bandar.

"Kita tahu di kawasan bandar B40 yang tinggal di rumah kos rendah dikecualikan cukai taksiran, tetapi bagaimana pula di kawasan kampung?

"Betul pendapatan isi rumah berbeza di bandar dan kampung bagi kategori B40, namun kalau kita wujudkan double standard (ukuran moral) begini, bagi saya ia tidak adil dan harus ditangguh dahulu pelaksanaannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Karnival Kesihatan dan Keselamatan Alam Suria 5A2 Puncak Alam di Pekarangan Surau Al Ikhlas di sini pada Ahad.

Kira-kira 300 penduduk pelbagai latar belakang dan peringkat usia menyertai fun walk sejauh tiga kilometer pada program berkenaan.

Harrison memberitahu, kerajaan negeri seharusnya mengadakan sesi dialog awam dan kajian menyeluruh sebelum ia dilaksanakan.

Jelas beliau, pertemuan dengan penduduk kampung tradisi itu penting bagi menilai sendiri kekangan dihadapi mereka yang tinggal di kawasan tersebut.

"Saya sendiri akui terdapat banyak luahan dan aduan daripada penduduk kampung yang tidak berpuas hati dengan pelaksanaan cukai taksiran di kawasan kampung," jelas beliau.

Beliau memberitahu, salah satu faktor yang menyumbang kepada ketidakadilan adalah dari segi penyediaan perkhidmatan perbandaran di kawasan kampung berbanding mereka yang menetap di bandar

Mengambil contoh di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Harrison menjelaskan, tiada kerja-kerja khidmat perbandaran dilakukan di kawasan kampung.

"Adakah ia adil untuk kerajaan negeri mengenakan cukai taksiran sedangkan perkhidmatan tidak sampai ke peringkat kampung?

"Saya memohon kerajaan negeri tangguh atau melihat semula perkara ini dengan lebih mendalam sebelum ia dilaksanakan," tegas beliau.

Mengulas mengenai karnival itu, Harrison berkata, program itu diadakan bertujuan menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, katanya, persatuan penduduk juga dicadang mengadakan program fun walk setiap bulan bagi membudayakan kepentingan penjagaan kesihatan.

"Saya amat menggalakkan agar aktiviti ini dilaksanakan di kawasan kejiranan masing-masing, taman perumahan, kampung tradisional, malah di mana sahaja yang sesuai dan selamat," tambah beliau. - Sinar Harian