Desas-desus siapa Ketua Polis Negara yang bakal mengantikan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang bersara wajib pada esok (3 Mei) akhirnya terjawab.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa mengesahkan Datuk Seri Abdul Hamid Bador dilantik mengetuai kepimpinan kanan Polis Diraja Malaysia PDRM itu.

Sementara Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula memaklumkan, surat pelantikan Ketua Polis Negara yang baharu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pelantikan Abdul Hamid selama dua tahun berkuatkuasa pada 4 Mei ini.

Di sebalik pelantikan Abdul Hamid, tidak semua rakyat mengetahui latar belakang sosok tubuh yang pernah mendapat perhatian media pada 2015 itu.

Abdul Hamid yang dilahirkan pada 7 Ogos 1958 di Kuala Lumpur pernah menjawat jawatan di peringkat daerah, negeri dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Sepanjang lebih 42 tahun berkhidmat dengan PDRM, beliau pernah menjadi Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Pengarah Jabatan Cawangan Khas Selangor, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perisikan Luar, Bahagian Ancaman Ekstremis Luar, Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1 dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman sejak Mei 2018.

Dikenali sebagai seorang yang tegas dan komited terhadap tugasnya, Abdul Hamid pernah dianugerahkan Bintang Bhayankara Nararya oleh kerajaan Indonesia di atas jasanya membantu negara jiran itu melumpuhkan kegiatan Jemaah Islamiah dan Daish.

Pada 2015, Abdul Hamid merupakan individu yang membuat pendedahan mengenai penyembunyian saksi utama dalam siasatan kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau bagaimanapun ditukarkan ke pejabat Perdana Menteri pada September tahun yang sama di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional.

Namun itu bukan pengakhiran kerjaya Abdul Hamid apabila beliau dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman mengantikkan Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff selepas Kerajaan Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei tahun lalu.