SELEPAS namanya disebut-sebut, Dyana Sofya Mohd Daud akhirnya sah menjadi calon DAP yang akan bertanding Pilihan Raya Kecil P076 Teluk Intan. Setiausaha Agung Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng mengumumkan nama anak kelahiran Ipoh itu sebagai calon mewakili Pakatan Rakyat dalam satu majlis di Teluk Intan tengahari tadi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu, DAP memenangi kerusi tersebut melalui calonnya, Seah Leong Peng mengalahkan calon Barisan Nasional, Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas K. Moralingam dengan majoriti 7,313 undi.

Leong Peng meninggal dunia pada 1 Mei lalu akibat penyakit barah.

Teluk Intan merupakan kawasan majoriti pengundi Cina tetapi mempunyai saiz pengundi Melayu yang besar. Kawasan parlimen itu terdiri daripada 42 peratus pengundi Cina, 38 peratus Melayu dan 19 peratus India.

Di kawasan majoriti pengundinya adalah kaum Cina, DAP mengenepikan bekas ketua penerangan pilihan rayanya, Hew Kuan Yau dan memilih seorang gadis Melayu yang sangat muda, Dyana Sofya.

Kenapa Dyana Sofya? Soalan yang lebih tepat lagi: Kenapa calon Melayu dipilih untuk kawasan majoriti pengundinya Cina? Apakah DAP telah ketandusan calon Cina untuk dipertaruhkan? Ya benar, Dyana Sofya yang berasal dari Ipoh itu berkelulusan Sarjana Muda Undang-undang. Dia lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM). Dia muda tetapi menunjukkan bakat untuk maju -- bijak, ternampak matang dan pandai berhujah.

Dyana Sofya juga diakui ramai, termasuk di kalangan ahli-ahli UMNO, sebagai seorang gadis Melayu yang comel. Tetapi bukan faktor bijak dan comel semata-mata yang menjadi perkiraan DAP, sebaliknya parti yang selalu dilabelkan sebagai "anti Melayu" dan kononnya "membawa fahaman Komunis" itu menyedari bahawa mereka perlu memenangi undi orang Melayu.

(Nota: DAP sebuah parti yang membuka keahliannya kepada semua kaum, berfahaman demokrat sosialis, percaya kepada kesamarataan antara semua kaum dan memperjuangkan sebuah Malaysia untuk semua rakyat Malaysia.)

Dyana Sofya, DAP
Calon Parti DAP Dyana Sofya Mohd Daud bersama barisan kepimpinan DAP selepas dipilih sebagai calon parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan. --fotoBERNAMA

DAP menyedari bahawa kaum Melayu adalah majoriti di negara ini dan mahu tidak mahu, mereka perlu mendekati pengundi Melayu, perlu memenangi hati pengundi Melayu. Usaha ini bukan hanya untuk Teluk Intan, tidak, DAP tidak hanya fikir Teluk Intan, tetapi mereka memikirkan dan merangka strategi untuk PRU14.

Parti yang dilabel oleh banyak orang Melayu sebagai "anti Melayu" dan "membawa fahaman Komunis" itu sedar bahawa mereka perlu memenangi hati pengundi Melayu dalam PRU14 akan datang. DAP sangat tegas menolak pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah yang mengandungi hukum hudud di Kelantan. Kerana menolak secara total hukum hudud, DAP bukan hanya dianggap parti yang "membawa fahaman Komunis" tetapi juga dianggap sebagai anti Islam.

Kerana bertegas menolak hudud, maka DAP dianggap anti Islam dan anti Melayu kerana di negara ini Melayu itu Islam -- biarpun berbuih mulut pemimpin DAP menjelaskan mereka menolak hudud kerana ia tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan, bukan sebab anti Islam atau anti Melayu.

Atas faktor itu iaitu faktor agama, orang Melayu menolak DAP dan kerana menyedari Melayu adalah majorti, maka DAP perlu berusaha mencari jalan untuk terus dekat dengan orang Melayu. Maka kali ini, Dyana Sofya, gadis Melayu lulusan UiTM dipilih sebagai calon.

Selain faktor Melayu, DAP juga menyedari menjelang PRU14, golongan muda merupakan majoriti di negara ini. Ada dua kelompok majoriti yang perlu ia hadapi: Melayu dan orang muda. Dyana Sofya berusia 27 tahun, selain diakui comel, dia juga masih muda. Bagi generasi muda, selain PKR, kini DAP dilihat sebagai parti yang memberi ruang dan peluang kepada golongan muda untuk bertanding dalam pilihan raya.

Parti politik yang membuka seluas-luasnya ruang dan peluang kepada orang muda akan mudah lebih dekat dengan golongan muda. Parti ini juga akan dilihat 'cool' kerana yang sudah veteran tidak hanya melihat bahawa hanya yang sudah berusia layak untuk bergelar wakil rakyat tetapi anak muda juga berpeluang menjadi Yang Berhormat yang akan berkhidmat.

Jadi, 'Projek Dyana Sofya' bukan semata-mata untuk Teluk Intan tetapi ia adalah usaha DAP mendekati golongan muda. Parti yang sering dilabel dengan bermacam-macam yang negatif ini mahu dilihat 'cool' dan memberi peluang kepada golongan muda. Bakat anak muda yang ada perlu digunakan sebaik mungkin bukan dicantas sehingga hilang dari radar politik negara.

Usaha memenangi golongan muda ini perlu segera dicontohi oleh UMNO dan juga rakan DAP dalam Pakatan Rakyat, PAS. Dua parti yang mewakili orang Melayu ini berusaha gigih mendekati anak muda tetapi dilihat tidak memberi peluang kepada golongan tersebut.

Dyana Sofya simbol usaha DAP mendekati orang Melayu dan golongan muda. Tetapi 'Projek Dyana Sofya' ini bukan projek Teluk Intan semata-mata sebaliknya ia strategi untuk menghadapi PRU14.